PKR akan membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan memanfaatkan wang sebanyak RM2.1 juta daripada Kementerian Kewangan yang disalurkan kepada sebuah pertubuhan masyarakat India untuk kempen “Nambikei” dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Laporan itu akan dibuat Ahli Parlimen Kapar Manivannan Govin pada 2 petang esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.
Bercakap pada sidang media tengah hari ini, Manivannan berkata beliau akan turut membuat laporan terhadap 2 pemegang jawatan tertinggi pertubuhan itu yang dakwanya menyalahi piagam pertubuhan dengan menggunakan wang itu untuk kempen pilihan raya.
Sementara itu Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata laporan itu mempunyai kaitan dengan kes salah guna geran sebanyak RM2.3 juta terhadap sebuah pertubuhan masyarakat India.
“Ia bukan saja soal salahguna dana awam untuk politik Barisan Nasional (BN) tetapi ada tuduhan dana ini, kelulusannya tidak mengikut undang-undang dan perlembagaan,” kata ahli Parlimen Pandan itu.
Najib menyertai politik pada 1976 apabila bapanya, perdana menteri ke-2 Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.
Beliau kini berdepan pelbagai dakwaan termasuk yang terbaru melibatkan “derma” sebanyak RM2.6 bilion daripada keluarga Diraja Saudi dan wang yang dikesan daripada syarikat milik negara SRC International.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali baru-baru ini berkata tiada bukti mencukupi bagi salah laku jenayah dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup fail siasatan.
SPRM merayu keputusan itu – yang membawa kepada konfrontasi awam antara agensi anti rasuah itu dan peguam negara yang dilantik menjawat jawatan itu Julai lepas.