Tun Dr Mahathir Mohamad merancang menubuhkan sebuah gerakan utama bersama parti pembangkang dalam Pakatan Harapan bagi menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Matlamat utama gerakan itu ialah untuk menyingkirkan Najib, kata Dr Mahathir tetapi beliau tidak berhasrat menubuhkan sebuah parti politik baharu.
“Ia belum lagi ditubuhkan. Saya berharap sebuah gerakan utama dapat menunjukkan komitmen mereka dengan menandatangani deklarasi bersama.
“Kita bersetuju untuk satu perkara, iaitu menyingkirkan Najib,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya merujuk kepada parti pembangkang jika mereka bersetuju untuk bersama-sama dalam gerakan tersebut.
Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Terdahulu, Dr Mahathir juga mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Amanah dan PKR di pejabatnya.
Antara yang hadir ialah pemimpin Amanah, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa.
Selain itu turut hadir ialah Naib Presiden PKR Chua Tian Chang dan Tamrin Ghafar.
Dr Mahathir juga baru-baru ini mengesahkan menjadi penaung kepada kumpulan penentang Umno, Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) dalam usaha mendesak peletakan jawatannya.
Dr Mahathir hari ini mengumumkan keluar Umno atas alasan parti utama kaum Melayu itu sudah lari daripada landasan perjuangan sebenar.