Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno mendapat sokongan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang serius dan memberi kesan besar kepada parti.
Naib Presiden GKCM Rushdan Mohamed menyifatkan keputusan Dr Mahathir merupakan sesuatu yang serius dan akan memberikan kesan besar kepada Umno.
“Kami sudah adakan mesyuarat tertutup dengan Dr Mahathir sebelum ini dan memberi jaminan kepadanya akan sentiasa bersama beliau walaupun keluar parti Najib.
“Ia hari yang sedih apabila berlaku keadaan ini kerana individu bertanggungjawab membina negara ini membuat keputusan meninggalkan parti,” katanya di Putrajaya hari ini.
Rushdan berkata, GKCM akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan keputusan dibuat Dr Mahathir sama ada akan mengikut jejak yang dibuat bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.
“Kami akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini dan akan mengumumkan keputusan dalam masa terdekat nanti,” katanya.
Dr Mahathir hari ini mengumumkan keluar Umno atas alasan parti itu sudah hilang hala tuju dan tidak lagi relevan dengan pembangunan negara.
Ini bukan kali pertama Dr Mahathir mengumumkan keluar Umno, pada Mei 2008 beliau bertindak keluar parti itu selepas hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu mengambil keputusan menyertai semula Umno pada 2009 selepas penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Razak menjadi presiden.