Presiden Pas Hadi Awang mengejutkan para penyokongnya yang ditarbiyah agar anti Umno dengan hujah: “Saya anti Umno tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno kita (Pas) hendak berbaik”.
Dari penoreh getah hinggalah tokoh koporat dalam Pas, rasanya tidak akan faham falsafah terbaharu Hadi. Adakah Hadi masih seorang ahli politik dan berbicara berdasarkan kenyataan politik semasa atau beliau pencen politik dan hanya bercakap sebagai seorang ustaz?
Politik berkenaan hal-hal semasa dan bukannya berasaskan akidah. Misalnya, ahli Pas anti Syiah kerana mereka Sunnah Wal Jamaah. Namun ahli Pas wajib mendakwah pengikut Syiah agar mengikuti aliran Sunnah. Di sana wujud keadaan yang disebut Hadi ‘anti pergerakan tetapi tidak anti ahlinya’.
Sebab itu Hadi tiada masalah untuk ke Iran dan berseminar bersama ulama-ulama Syiah atas tujuan dakwah atau perbincangan ilmu. Namun politik tidaklah seperti akidah. Dalam politik sekiranya pemimpin parti menyeleweng maka wajib pengikut meninggalkan parti.
Ubah penyelewengan
Umno digerakkan oleh ahli dari peringkat bawah sehingga ke pemimpin atasan. Sekiranya parti itu menyeleweng maka tanggungjawab orang bawahan untuk menegur dan mengubahnya dengan melantik pemimpin lain. Umno bukan agama yang termaktub dalam kitab suci yang tidak boleh diubah. Bawahan Umno yang tidak mahu mengubah penyelewengan adalah orang yang tercela dan sepatutnya ditentang.
Usaha berbaik-baik dengan ahli parti yang tidak mempedulikan halal atau haram hanyalah perbuatan sia-sia. Bolehlah diibaratkan ahli Pas berkawan dengan ahli maksiat sekiranya terus bersama golongan berkenaan. Apatah lagi ahli Umno yang sedar telah pun meninggalkan parti dan menyertai perjuangan pembangkang melawan Najib.
Adakah Pas yang dibina dengan tradisi ulama akhirnya akan menjadi kawan kepada penjudi, peminum arak, konspirator, tukang fitnah dan pelaku segala jenis maksiat? Untuk apakah serban dan title ustaz serta keilmuan yang mereka miliki jika akhirnya berkawan dengan golongan jahil dan sesat?
Paling lemah
Inilah era paling lemah dalam perjuangan Pas. Pemimpin utama parti tidak lagi dapat membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Penasihat pemimpin pula dari kalangan berfikiran asabiyah. Mereka amat anti Anwar dan sanggup bersama golongan mungkar hanya untuk menyempurnakan nafsu amarah terhadap Anwar.
Ke manakah Pas akan membawa pengikutnya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang? Untuk bersekongkol dengan Umno, penyokong setia tidak akan menerima dengan mudah. Mereka masih sayangkan perjuangan ustaz Fadhil Noor dan Nik Aziz. Untuk terus mengundi Pas mereka tidak sanggup menggadaikan akidah anti Umno. Maka pengikut Pas akan mempunyai perasaan yang sama dengan ahli Umno yang waras pemikirannya.
Dalam PRU 2008, ahli Umno yang anti PM Pak Lah tidak keluar mengundi kerana yakin perjuangan parti tidak lagi suci seperti zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Ahli yang yakin Anwar tidak bersalah dan difitnah mengundi pembangkang. Akhirnya Umno BN kalah di 5 negeri.
Ahli Pas juga akan berfikiran sedemikian. Mereka akan diberi hidayah oleh Allah. Mereka tidak lagi akan berasa mengundi Pas diberi pahala. Sebaliknya mereka akan duduk diam dan tidak menyokong sesiapa dalam PRU.
Pas janganlah terlalu panjang angan-angan bahawa ahli-ahli parti itu adalah robot dan taat kepada fatwa pemimpin. Ahli Pas hanya 400,000 ketika Anwar dipecat dan dianiaya pada 1998. Gelombang sokongan terhadap Anwar menyebabkan pelbagai lapisan masyarakat menyertai Pas.
Kembali pada asal
Selepas Pas menunjukkan sikap anti Anwar, anti DAP, anti PKR dan berbaik pula dengan Umno tidak mungkin golongan berkenaan akan terus kekal menyokong kepimpinan Pas.
Keengganan Pas menjatuhkan Najib walaupun pemimpin itu terlalu menzalimi rakyat akan mendedahkan pekung sebenar Pas. Rakyat yang kekurangan wang akibat polisi BN tidak akan mendengar hadis dan ayat yang dibaca Pas untuk mewajarkan mereka menyokong Najib.
Rakyat yang kelaparan tidak makan nasihat agar tidak menentang Najib dan berubah secara pilihan raya. Bagi mereka setiap datang peluang untuk melepaskan diri daripada kesulitan maka mereka akan bersama golongan berkenaan.
Pas tidak akan mendapat undi dengan langkah terbaharu. Parti itu akan kembali mengecil dan rebah di beberapa negeri yang bukan kubu kuat. Sementara di negeri kubu kuat Pas dijangka sukar mempertahankan kerajaan negeri.
Akhirnya Pas kembali semula kepada asalnya, parti kecil di Timur Semenanjung. Pengikutnya memenuhi serambi masjid dan tidak akan meluas pengaruh melebihi Bachok hingga Kemaman. Itulah penyudah kepada perjuangan hebat ustaz Fadhil dan Nik Aziz yang dikhianati oleh pengganti mereka.