EKSKLUSIF : Temubual wartawan Suara pakatan daily Salena Tay bersama Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) YB Khalid Samad menghuraikan persoalan terkini, mampukah AMANAH menggalas cabaran pilihan raya umum (PRU) ke 14 nanti menggantikan Pas di kerusi Melayu.
SPD: Amanah sering dibayangi kekuatan Pas dengan 1.3 juta ahli. Bagaimanakah AMANAH akan meyakinkan penyokong Pakatan Harapan (PH) bahawa parti baharu ini mampu mengambil alih atau mengisi kekosongan Pas dalam keadaan keahlian dan jentera parti tidak sekuat Pas?
Khalid: Saya akui ianya satu tugas yang amat mencabar. Pas telah wujud sekian lama dan telah berjaya membina keahlian yang begitu ramai.
Namun, ramai yang tidak memahami apa yang sedang berlaku dan agak keliru dengan suasana sekarang. Saya yakin bahawa keadaan akan semakin jelas dan ianya akan menjadi jelas berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat pimpinan PAS sendiri.
Oleh itu, ianya akan menjadi semakin jelas bahawa Pas tidak lagi seperti dahulu dan ini akan menyebabkan semua yang ingin mencari parti politik yang berasaskan Islam akan menilai situasi semasa dan seterusnya menyertai AMANAH.
Dalam erti kata lain, (ahli) Pas sendiri akan banyak membantu dalam usaha AMANAH membina tapak pengaruh dan ikutan dalam masyarakat. Tidak perlu kami menjelaskan dan meyakinkan penyokong PH bahawa AMANAH diperlukan untuk mengambil tempat Pas dalam PR
Yang penting bagi AMANAH ialah untuk ia terus berusaha menjelaskan dasar dan pendekatan perjuangan yang ingin AMANAH amalkan sambil terus membina kekuatan keahliannya.
SPD: Persempadanan semula yang sedang dilakar kerajaan BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengutamakan kawasan Melayu. Umno dan Pas mungkin bersatu bagi mengelakkan undi Melayu pecah kepada PH. Bagaimanakah Amanah akan menarik kaum Melayu mengundi Pakatan?
Khalid: Ya, persempadanan baharu akan dimanfaatkan oleh Umno dan Pas untuk kepentingan mereka berunsurkan politik kaum. Malangnya Pas sendiri seolah-olah telah bersatu dengan Umno dalam soal ini dan ‘menyerupakan’ kekuasaan Melayu-Islam sebagai kekuasaan Islam. Sedangkan Melayu Islam (nasionalis Umno) telah lama berkuasa dan kesannya lebih memburukkan imej Islam.
AMANAH mesti berdiri tegak atas prinsip Islam dan mengutamakan ajaran Islam, bukan apa kononnya ‘kepentingan Melayu Islam’. Rasulullah (SAW) diutus untuk menzahirkan keadilan Islam bukan menegakkan kekuasaan orang Islam atas yang bukan Islam. Di sini Islam berbeza dengan perjuangan Zionis.
AMANAH mesti menyeru orang Melayu-Islam untuk memperjuangkan prinsip-prinsip dan ajaran Islam bukan ‘kepentingan orang Islam’ yang hanya mengutamakan Melayu Islam berkuasa tanpa disyaratkan tujuan dan matlamat kekuasaan itu.
Seruan mempertahankan ‘kepentingan orang Islam’ telah menyebabkan orang Islam mengenepikan prinsip dan melanggar ajaran Islam. Sebagai contoh dalam soal menentang rasuah dan kezaliman pemerintah.
AMANAH mesti mampu menjelaskan persoalan ini, iaitu membezakan perjuangan prinsip dan ajaran Islam, berbanding sekadar kedudukan orang Islam. Sekiranya ini dapat diperjelaskan dan diyakinkan, maka AMANAH akan dilihat jauh lebih benar dan mulia berbanding Umno mahu pun Pas.
Dengan itu AMANAH akan dilihat sebagai penyelamat orang Melayu dan Islam dan menarik sokongan serta penyertaan kaum Melayu secara lebih meluas.
SPD: Doktrin Ketuanan Melayu menjadikan kaum Melayu ‘melekat’ pada Umno. Adakah Amanah mempunyai strategi tertentu untuk menarik sokongan Melayu, terutama di luar bandar?
Khalid: AMANAH akan terus membawa mesej, Islam adalah rahmat untuk semua seperti yang terkandung dalam ayat “rahmatan lil ‘alamin”. Dengan itu, doktrin Ketuanan Melayu akan difahami sebagai satu dasar dan perjuangan yang menyebabkan orang Melayu mengabaikan perjuangan Islam.
Orang Melayu mesti difahamkan bahawa mereka wajib membawa perjuangan yang lebih luas dan agung berbanding ‘ketuanan Melayu’, iaitu ketuanan keadilan dan kebajikan yang dibawa Islam. Hanya apabila Melayu membawa perjuangan ini maka akan Melayu selamat, dunia dan akhirat.
Hakikatnya, perjuangan ‘ketuanan Melayu’ telah merosakkan Melayu dan menjadikan Melayu bangsa yang semakin ketinggalan dengan bukti kegagalan Umno selama 60 tahun lebih.
Saya rasa kaum Melayu pun sudah mula mencari formula baharu untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Kami yakin AMANAH membawa formula ini dan mampu memartabatkan bangsa Melayu sambil mensejahterakan Malaysia keseluruhannya.
SPD: Pas mempunyai kekuatan ulama dan gerakan Islam. Amanah juga mempunyai ulama besar seperti Ustaz Ghani Shamsudin, Ustaz Ahmad Awang. Namun mereka kelihatan tenggelam. Adakah program khusus dirancang untuk menjadikan mereka ikon politik Islam Malaysia?
Khalid: Peranan ulama dalam AMANAH adalah sangat penting. Tetapi kita tidak mendewa-dewakan mereka. Tiada amalan teokrasi dalam AMANAH. Yang diutamakan adalah ilmu dan mesej Islam yang mereka perjelaskan.
Setiap pimpinan AMANAH, sama ada lulusan agama atau profesional mahu pun aktivis, akan menyampaikan ilmu dan mesej yang diperjelaskan ulama kepada masyarakat mengikut kemampuan dan cara masing-masing.
Atas sebab kegigihan dalam penyampaian mereka maka ada kalanya mereka menjadi lebih terkenal di sisi rakyat berbanding ulama yang memperjelaskan ilmu dan mesej itu asalnya. Ulama menjadi terkenal di kalangan ahli ilmu sedangkan aktivis menjadi terkenal di kalangan rakyat jelata. Ini perkara biasa dan tidak merupakan masalah. Sepertimana Khalid Al-Walid lebih dikenali rakyat berbanding Ubay bin Kaab. Tetapi yang penting adalah ilmu dan mesej Islam dan ulama sebaliknya sebagai sandaran.
Saya yakin ketokohan ulama seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin serta ramai lagi ulama yang bersama AMANAH akan terserlah dengan sendirinya tanpa ianya ditonjol-tonjolkan.
Tak perlu disenaraikan jawatan-jawatan yang dipegang mereka atau tahap kelulusan mereka. Rakyat akan melihat dan mengenali, sejarah akan menjadi saksi terhadap ketokohan mereka melalui sikap dan pendirian mereka terhadap sesuatu persoalan berdasarkan ilmu dan kemahiran mereka. Bukan atas sebab jawatan dan gelaran yang diberikan kepada mereka. Ini sama seperti Almarhum Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Yusof Rawa yang telah meninggalkan legasi yang dibanggakan.
Sambil itu saya yakin, semakin ramai dari kalangan ulama yang akan bersama AMANAH apabila mereka lihat pendekatan AMANAH adalah lebih menepati kaedah Islam. Mereka juga tidak ingin didewa-dewakan dan amat takut akan kemungkinan itu.
SPD: PKR menumpukan kepada anak muda Melayu dalam gerak kerja parti pada 2016. Apakah Amanah mempunyai program serupa, kerana undi anak muda Melayu dijangka akan menjadi penentu keputusan PRU 14.
Khalid: Ya, AMANAH turut mempunyai program-program untuk anak muda. Ia merupakan program-program yang memenuhi keperluan anak muda di semua peringkat.
Ada yang bersifat ilmiah dan profesional seperti ‘AMANAH Scholar’ dan ada yang bersifat santai dan massa. Tetapi yang penting adalah mesej yang dibawa iaitu anak muda mesti berperanan dalam menentukan masa depan negara. Mereka mesti bersama dalam usaha menyelamatkan Malaysia dengan diletakkannya di bawah kepimpinan yang adil lagi bertakwa.
SPD: Pakatan Rakyat hanya kekurangan 8% undi Melayu pada PRU 2013. Amanah adalah peneraju Melayu menggantikan Pas, adakah apa-apa strategi khusus untuk membangunkan minda Melayu?
Khalid: Selama ini kami berkeyakinan bahawa perjuangan yang berdasarkan Islam mampu membawa Melayu keluar dari minda perjuangan Kebangsaan Melayu sempit yang dibawa Umno.
Oleh itu Pas dibantu dan dibina untuk menjadi alternatif kepada Umno. Usaha itu sememangnya berhasil dan walaupun majoriti Melayu masih bersama Umno pada 2013 tetapi hakikatnya sokongan terhadap Pas telah meningkat.
Malangnya Pas menjadi keliru di pertengahan jalan. Tidak tahu sama ada nak jatuhkan umno atau sebaliknya. Dan ini menjadikan segala usaha kita terganggu seketika. Tetapi kami yakin ianya hanya untuk seketika.
Kami yakin bahawa perjuangan politik yang berasaskan kefahaman Islam yang tepat dan mantap adalah satu-satunya dasar perjuangan yang mampu menarik perhatian masyarakat Melayu sehingga meninggalkan perjuangan kebangsaan Melayu. Sudah tentu kita kehilangan satu permata yang begitu gemilang dengan perginya almarhum Tuan Guru Nik Aziz dan dia tidak mungkin dapat diganti, tetapi saya yakin bahawa perjuangan politik Islam ini mempunyai daya penarik tersendiri.
Oleh itu, AMANAH perlu terus memperkenalkan diri dan perjuangannya kepada rakyat jelata khususnya buat masyarakat Melayu. Saya yakin majoriti Melayu menolak rasuah dan penyelewengan sepertimana mereka juga menolak pendekatan teokratik yang sekarang ini dibawa Pas. Dengan itu AMANAH akan menjadi parti pilihan setelah ianya dikenali dan dasarnya diperjelaskan dan difahami, insyaAllah.
Tiada ‘strategi khusus’ selain membebaskan minda Melayu dari ketakutan dan kekeliruan dengan kefahaman Islam. Ketakutan dan kekeliruan ini yang menyebabkan minda Melayu terus dibelenggu dan dikongkong oleh Umno.
Melalui kefahaman Islam, ianya akan dibebaskan dan pada ketika itu Melayu akan tinggalkan Umno dan mempunyai keberanian untuk melakar masa depan yang lebih cemerlang bersama Islam, bersama AMANAH.