Pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) yang majoritinya terdiri daripada anak-anak Melayu dibimbangi menjadi mangsa kezaliman Program Dwi Bahasa (DLP), kata Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan.
Beliau menyifatkan dasar menggunakan bahasa Inggeris dalam subjek berasaskan sains, matematik dan teknologi yang hanya dikuatkuasakan di SK itu sebagai satu bentuk kezaliman kebudayaan.
“Mengapa DLP hanya kena pada SK saja? SJK (Sekolah Jenis Kebangsaan) Cina dan Tamil diizinkan mengajar dalam bahasa mereka masing-masing.
“Ini kezaliman kepada anak-anak Melayu untuk belajar sains, matematik dan subjek berteraskan teknologi dalam bahasa Melayu,” tegasnya pada sidang media bantah DLP di ibu pejabat Abim di Gombak hari ini.
Menurut bekas pensyarah Universiti Malaya (UM) itu, berlaku penafian keadilan terhadap sejumlah besar murid Melayu yang menuntut di SK kerana dihalang belajar dalam bahasa ibundanya.
“Murid-murid Melayu jadi mangsa kezaliman Kementerian Pendidikan. Ramai murid Melayu yang gagal. Kita boleh lihat selepas keputusan PT3 tahun lalu. Difahamkan kelayakan bagi kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh terpaksa diturunkan ,” ujarnya lagi.