Keputusan kerajaan menamatkan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petronas menggambarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kuasa Perdana Menteri, kata penyokong-penyokong Deklarasi Rakyat.
Pejabat Perdana Menteri semalam menyebut, keputusan menamatkan jawatan Tun Mahathir sebagai Penasihat Pertronas dibuat setelah kabinet berpendapat bekas Perdana Menteri itu tidak mendokong kerajaan sedia ada.
Ini kerana Deklarasi Rakyat yang diisytihar 4 Mac lalu, bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara.
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Malaysia Dateline malam tadi berkata, deklarasi itu bertujuan hanya untuk menukar seorang Perdana Menteri yang dilihat tidak lagi berintegriti dan bukan untuk menjatuhkan kerajaan.
“Bagi kami deklarasi yang diketuai Tun Mahathir berhasrat untuk membaiki negara dan tidak bersifat mengulingkan kerajaan, tidak wajar untuk diletakkan sebagai satu alasan untuk melucutkan jawatannya.
“Ini menunjukkan kita tidak boleh ada perbezaan pandangan. Ini bermakna semua mereka yang dilantik dalam sektor kerajaan terutama GLC dalam setiap peringkat jawatan tidak boleh berbeza pendapat dengan perdana menteri.
“ Saya yakin penamatan jawatan Penasihat Petronas itu akan beri kesan buruk kepada ekonomi negara
“Masyarakat antarabangsa yang berada dalam sektor minyak dan gas akan hilang kepercayaan kepada syarikat Malaysia kerana telah dipolitikkan oleh kepentingan seorang perdana menteri,” ujarnya.
Manakala bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim pula mengatakan beliau tidak terkejut dengan keputusan kabinet untuk menamatkan jawatan Tun Mahathir.
“Saya tidak terkejut kerana sudah dijangka. Itulah Umno mudah lupa jasa orang.
“Mereka kata Tun Mahathir nak guling kerajaan kenapa perlu guna perkataan begitu?
“ Pada saya mereka tidak bertanggungjawab. Apa salahnya jika mereka memikirkan Tun Mahathir sudah lama menjadi perdana menteri, tokoh yangg banyak berjasa kepada negara sebab itu beliau dilantik sebagai penasihat,” komen Zaid ringkas.
Mahfuz dan Zaid antara 57 individu yang menandatangani Deklarasi Rakyat diketuai Tun Mahathir pada 4 Mac lalu.
Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Kamaruddin Abu Hassan yang turut menandatangani deklarasi tidak hairan langsung dengan keputusan kabinet itu.
“Syukur kerana Tun Mahathir akan mempunyai lebih banyak masa serta fokus dengan rakyat jelata untuk menjayakan deklarasi rakyat bagi selamatkan negara kita,” ujarnya.
Kata Khairuddin lagi dulu Tun Mahathir pernah meletakkan jawatan sebaliknya Najib merayu beliau meneruskan khidmat sebagai penasihat.
“Kini terpulanglah kepada puak-puak yang menyokong kerajaan untuk berbuat demikian (menamatkan jawatan Tun Mahathir),” ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan sedikit sebanyak keputusan kerajaan itu akan memberi kesan kepada pelabur dalam industri minyak dan gas di negara ini.
“Bukan saja kesannya akan menerjah di kalangan pelabur malah kesan yang paling teruk adalah kakitangan Petronas sendiri kerana ramai kakitangannya adalah penyokong Tun Mahathir.
“Penamatan jawatan Tun Mahathir sedikit sebanyak akan menjejaskan semangat mereka juga,” ujarnya menjawab pertanyaan Malaysia Dateline melalui Whatsapps.
Manakala aktivis mahasiswa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika dihubungi pula berpandangan, sesiapa sahaja yang bekerja di bawah GLC tidak sepatutnya menggadaikan pendirian mereka hanya kepada seorang Perdana Menteri.
“Kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu tidak wajar dan telah menghantar mesej moral yang salah jika sesiapa yang tidak berpihak kepada kerajaan tindakan boleh diambil seperti menamatkan jawatan, digantung atau dipecat.
“GLC ini bukan milik Perdana Menteri, ia adalah milik kerajaan asasnya dibina atas duit rakyat, jelas kini semua GLC dalam negara ini boleh dipolitikkan oleh pemimpin negara.
“Saya bimbang siapa pula yang akan menggantikan tempat Tun Mahathir sebagai Penasihat Petronas, sama ada dia akan menyokong salah guna wang Petronas dan setia untuk menyokong Najib,” ujar Syed Saddiq yang mewakili mahasiswa menandatangani Deklarasi Rakyat.