GEORGETOWN 20 Jun 11: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 26 Julai ini untuk perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Datuk Salim Parlan dan pasangannya, Nur Diayana Norslan.
Hakim Syarie Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menetapkan tarikh itu selepas menolak permohonan pihak pembelaan supaya mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes berkenaan.
Terdahulu, pembelaan yang diwakili Wan Faridulhadi Mohd. Yusoff membuat permohonan itu sementara menunggu keputusan permohonon kebenaran poligami dan pengesahan nikah di Selatan Thailand yang difailkan anak guamnya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur minggu lepas.
Ketua Pendakwa Syarie Mohd. Zulkhairi Aziz yang membantah permohonan itu berkata kes itu perlu diteruskan sementara menunggu keputusan permohonan berkenaan.
“Kita tidak tahu bila kes di Kuala Lumpur itu akan selesai. Ia mungkin mengambil masa yang lama… mungkin setahun atau dua tahun. Kita tidak tahu bila akan selesai,” katanya.