Kadar inflasi di Malaysia untuk bulan Februari 2016 ialah 4.2 peratus. Pakar ekonomi meramalkan kadar inflasi itu akan naik kepada 4.3 peratus pada bulan Mac.
Penganalisis ekonomi dari sebuah badan bukan kerajaan yang enggan disiarkan namanya berkata, inflasi mungkin akan mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat pada kadar lebih banyak di masa hadapan kerana kegagalan kerajaan mengawal harga barang.
“Harga kebanyakan jenis barang terutamanya barang makanan telah naik pada bulan Mac dan ini telah menyebabkan kadar inflasi naik. Contohnya harga ikan tenggiri di pasar pagi mencecah RM30 sekilo manakala harga bawang putih pula ialah RM13 sekilo.
“Harga makanan di restoran juga melambung naik. Makan di rumah pun bukan murah sangat melainkan kalau anda hanya makan sayur dan roti sahaja.
“Harga daging dan makanan laut serta barangan dapur naik mendadak sejak 2015. Begitu juga dengan harga mentega, keju dan jem. Kalau seorang bujang yang bergaji rendah hendak ‘survive’ dengan makan biskut sahaja sekali pun, harga biskut bukan murah,” katanya.
Beliau tidak faham mengapakah kerajaan terus membenarkan kenaikan harga barang makanan sedangkan harga minyak dunia telah jatuh merudum sejak Januari lalu
Oleh itu, katanya, hasrat kerajaan kononnya akan menurunkan kos sara hidup hanyalah retorik.
Seorang surirumah bernama Joyce Tan, 58 tahun mengadu kepada Suara pakatan daily berkata, keluarga dalam jumlah 5 orang memerlukan sekurang-kurangnya RM50 sebagai perbelanjaan ke pasar pagi setiap hari.
“Bayangkanlah sebulan sudah menjadi RM1,500. Harga barang makanan akan naik lagi pada bulan April apabila harga minyak naik kembali.
“Apa sudah berlaku kepada rancangan kerajaan untuk mengawal harga barang runcit dan barang makanan? Omong kosong saja ke?” tanya beliau.