Bekas Timbalan Perdana Menteri mendedahkan Penguasa Kewangan Singapura telah menyerahkan laporan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak dimasukkan ke akaun BSI Bank di Singapura.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, laporan berkenaan itu telah diserahkan kepada Ketua Audit Negara untuk disiasat.
“Adalah menjadi kebiasaan ketua-ketua agensi kerajaan datang menemui saya untuk memaklumkan perkembangan sesuatu isu. Dalam pertemuan saya dengan (Gabenor BNM) Tan Sri Zeti (Akhtar Aziz), saya dapat tahu bahawa pihak Monetary Authority Singapore telah menyerahkan satu laporan kepada BNM berkenaan wang 1MDB yang tidak dimasukkan ke dalam akaun Bank BSI di Singapura.
“Saya juga dapat tahu banyak urusniaga 1MDB yang melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang jika didapati bersalah boleh didenda maksima RM50 juta atau penjara 12 tahun,” katanya di Facebook semalam.
Sebelum ini, pihak yang berkaitan dengan 1MDB sering memberi alasan wang 1MDB berada di Singapura dan selamat di sana. Pendedahan terbaharu Muhyiddin menjadi satu tanda tanya kepada kenyataan yang dikeluarkan syarikat kesayangan Najib itu dan kerajaan Malaysia.