Himpunan anti GST dimeriahkan dengan kehadiran Tun Dr mahathir meneruskan kempen ‘singkir Najib’ yang dimulainya dengan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu
5.30 petang
Himpunan bersurai. Majlis ditutup dengan bacaan doa oleh Ustaz Badrul Amin Baharon
5.25 petang
Mahathir mengulang gesaannya sebelum ini di Kongres Rakyat Selamatkan Malaysia di Shah Alam minggu lalu supaya orang ramai menandatangani Deklarasi Rakyat.
“Saya harap perhimpunan ini tidak sia-sia. Najib sudah lama menekan rakyat,” ujarnya lagi.
5.20 petang
Mahathir akhirnya tiba di pentas selepas hampir 10 minit bergerak dalam kerumunan peserta himpunan.
“Saya sendiri rayu pada Najib janganlah kena GST tapi dia tak peduli sebab itu kita mesti jatuhkan Najib. Dialah punca segala masalah kita semua.
“Beribu pekerja Mas, Petronas dibuang. Saya pun dibuang juga,” ujarnya.
Terdengar suara mendesak bekas Perdana Menteri itu meminta maaf kepada Anwar.
5.18 petang
“Najib rasuah, Rosmah suruh. Pemimpin Umno makan dedak. Tun Mahathir kata.
“Undur Najib, Lekas-lekas Tun Mahathir. Buka, buka jalan,” jerit Mohamad Sabu.
Selama lebih kurang lima minit orang ramai menantikan Mahathir bergerak menuju ke pentas ucapan.
5.10 petang
Seperti dijanjikan Presiden Amanah yang juga Komander Himpunan “Mansuh GST, Undur Najib”, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya tiba di Dataran Merdeka dan dijangka memberikan ucapan.
5.10 petang
“Kita akan teruskan himpunan dan akan turun dengan jutaan orang. Najib rasuah polis, tentera, pegawai rakyat dan kami susah. Bebas Anwar,” pekik Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga selaku komander himpunan.
4.55 petang
“Kita beri amaran, selepas ini kita akan jatuhkan seorang demi seorang mereka di sekeliling Najib dan Rosmah. Lama sangat mereka makan dedak,” kata Rafizi Ramli.
4.44 petang
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke menyebut ketika isu MH370, Najib berada di Itali membeli cincin bersama Rosmah sebanyak RM3.5 juta.
“Masa rakyat di Kelantan banjir teruk tahun lepas Najib di mana? Main golf di Hawaii. Sebelum itu shopping.
“Najib Dan Rosmah satu hari shopping habis RM500,000. Undur Najib. Undur Rosmah. Walaupun kehadiran hari ini tidak seramai tahun lepas tapi kita harus meneruskan perjuangan,” tegasnya.
4.30 petang
Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli mengakui sudah bersedia dengan dua lapis baju kerana khuatir bajunya akan koyak bila ditangkap anggota FRU.
Beliau mengajak para demonstran menyanyikan lagu “selamat mati GST” bagi menyambut ulang tahun pertama pelaksanaan cukai tersebut.
Menurutnya, jika rakyat istiqamah melawan GST, cukai itu akan dihapuskan juga akhirnya.
4.25 petang
Siri ucapan dihentikan sebentar sebagai menghormati laungan azan tanda masuknya waktu Asar dari Masjid Jamek berhampiran lokasi himpunan.
4.20 petang
Pengarah Komunikasi Amanah Nasional, Khalid Samad berkata, apabila Pakatan Rakyat menolak GST tahun lalu, pihak kerajaan menuduh sebagai ‘keldai DAP’ kerana kononnya tauke Cina yang membantah GST.
“Umno penipu guna perkauman sebagai senjata mereka. RM2.6 bilion konon nak halang Cina berkuasa. Awak nak rasuah kata sajalah. Nak laga-lagakan rakyat.
“Nak tanya tentang RM2.6 bilion di Parlimen pun, dia tak berani. Parlimen apa ni?” bidasnya dengan menutup ucapannya dengan hadis menafikan pandangan songsang yang kononnya tidak boleh menjatuhkan pemimpin.
“Nabi berpesan, akan datang pemerintah dalam pembohongan mereka dan membantu dalam kezaliman mereka. Dia tidak kena mengena dengan aku (Nabi Muhammad) dan aku tidak kena-mengena dengan mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menterjemahkan potongan hadis yang mulanya dibaca dalam bahasa Arab itu.