Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengecam tindakan menahan Ahli Parimen Pandan, Rafizi Ramli semalam.
“PKR mengecam sekeras-kerasnya tangkapan Rafizi di bawah Akta Rahsia Rasmi dengan cara ala Gestapo ini di mana Rafizi telah ditarik keluar dari kereta beliau oleh sekumpulan sepuluh orang anggota polis seolah-olah Rafizi seorang penjenayah berat atau pembunuh yang cuba melarikan diri.
“PKR percaya tangkapan ini berkemungkinan besar berkaitan dokumen yang ditunjuk Rafizi di dalam satu sidang media beberapa hari lalu, yang berkaitan laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang bakal dibentang di Parlimen pada Khamis ini.
“Setelah laporan akhir itu dibentang di Parlimen, dokumen tersebut tidak akan lagi diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Oleh itu, tindakan menangkap Rafizi dengan cara ini adalah keterlaluan,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Sementara itu, beratus-ratus aktivis berkumpul berhampiran ibu pejabat polis Bukit Aman bagi menyatakan solidariti dengan Rafizi.
Mereka terdiri ahli-ahli parlimen, pemimpin-pemimpin parti politik dan aktivis NGO.