ULASAN:Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara memandang serius terhadap larangan untuk memasuki Sarawak bagi petugas dan pimpinan parti politik semasa musim pilihanraya negeri Sarawak (PRU Negeri).
KANUN berpandangan larangan sedemikian adalah bercanggah dengan amalan demokrasi dan undang-undang.
KANUN ingin memetik peruntukan Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 yang menyatakan seperti berikut:-
Right to enter East Malaysian State for exercise of political rights
67. Subsection 66(1) shall not have effect in relation to a citizen entering the East Malaysian State for the sole purpose of engaging in legitimate political activity; but the burden of proof that a person is entitled to enter the East Malaysian State under this section shall lie on him.
KANUN mendapati peruntukan seksyen ini telah dicabar beberapa kali di Mahkamah dan dalam kes Gobalakrishnan Nagapan v. Director of Immigration, Sarawak & Ors, Mahkamah telah mengesahkan bahawa pas atau permit tidak diperlukan jika tujuan memasuki Sarawak itu adalah atas alasan untuk menjalankan aktiviti politik yang sah.
Namun, pihak yang ingin memasuki Sarawak perlu membuktikan bahawa tujuan kemasukan tersebut adalah untuk menjalankan aktiviti politik yang sah.
Parti Amanah Negara (AMANAH) telah meletakkan seramai 13 orang calon untuk bertanding di 13 DUN di Sarawak dan AMANAH Sarawak juga amat memerlukan tenaga bantuan daripada petugas-petugas yang berada di luar Sarawak.
Sekatan ke atas para petugas parti ini bermakna menyekat proses demokrasi daripada berjalan dengan lancar.
Sebarang larangan untuk warganegara memasuki negeri Sarawak bagi tujuan menjalankan aktiviti politik yang sah ini adalah juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 dan suatu saman sivil bagi menuntut gantirugi atas perlanggaran hak asasi warganegara tersebut boleh dibuat ke atas Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak.
KANUN dengan ini menggesa sesiapa yang dihalang daripada memasuki Negeri Sarawak sepanjang tempoh kempen PRU Negeri ini hendaklah mengambil butiran pegawai yang menghalang, tarikh dan jam waktu dihalang dan seterusnya membuat laporan polis, laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dan juga laporan kepada SUHAKAM dengan menyatakan salah laku pegawai imigresen terbabit dan Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak yang menghalang petugas pilihanraya memasuki Sarawak dan telah menyalahguna peruntukan undang-undang imigresen.
WAN ANWAR BIN WAN IBRAHIM adalah Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) Parti Amanah Negara