Peguam Negara telah menolak kes Akuan Bersumpah (SD) membabitkan bekas tuan tanah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata Peguam Negara telah memberitahu Timbalan Pendakwa Raya bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Susulan’ (NFA).
“Saya dimaklumkan mengenai keputusan ini dua hari lepas dan oleh itu ia telah ditutup,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Tuan tanah Guan Eng, Phang Li Koon didakwa telah memalsukan SD dalam hal penjualan hartanahnya bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn kepada Guan Eng.
Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya, penjualan banglo itu ada kaitan dengan penjualan tanah Taman Manggis namun dakwaan itu telah dinafikan Guan Eng dan Li Koon.
Seorang pemimpin UMNO kemudiannya membuat laporan polis mendakwa Li Koon berbohong apabila beliau mengisytiharkan tidak mempunyai urusan dengan tawaran kerajaan negeri.
Ini kerana Li Koon dikatakan pernah menulis surat bertanya tentang cadangan kerajaan negeri untuk membina enklaf pekerja asing di Juru dan Batu Kawan.
Surat itu yang ditujukan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang milik negeri, ditandatangani ‘Phang Li Koon’ yang merupakan pengarah sebuah syarikat bernama ‘Magnificent Emblem Sdn Bhd’.