Selepas dicabar membuktikan beliau menyebut “Cina babi”, DAP hari ini memainkan sebuah video kontroversi ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos kepada pemberita.
Menurut pengerusi DAP Selangor Tony Pua, kenyataan itu dibuat sehari selepas perhimpunan baju merah di Kuala Lumpur tahun lepas.
Berdasarkan video itu, Jamal menyebut: “Melayu sebut babi kita sensitif sebab babi haram tapi bagi orang Cina, babi makanan mereka jadi tak ada masalah. Apa yang nak dibesar-besarkan isu ini?”
Pua justeru menuntut Jamal memohon maaf.
Minggu lalu, DAP mengaku mendirikan papan iklan besar yang memetik Jamal sebagai berkata “panggil Cina babi tidak salah”.
Jamal Md Yunos semalam dilapor mencabar pihak yang mendakwanya menyebut perkataan “Cina Babi” tampil membuktikan tuduhan itu.
Dalam ceramah MCA semalam, Jamal mendakwa Pakatan Harapan memainkan isu kaum kerana tidak mampu bersaing dengan calon BN dan isu-isu tempatan yang dibawa mereka.
Pua sebaliknya berkata mereka bukan memainkan perkauman tetapi isu antiperkauman supaya pemilih tidak mengundi parti ‘rasis’.
Pilihan raya kecil parlimen itu pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan antara BN, PAS dan Pakatan Harapan melalui calon Parti Amanah Negara (AMANAH).
BN menang majoriti kira-kira 400 undi dalam pilihan raya lalu. Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya dalam nahas helikopter.