ULASAN: Senario Pas, parti yang ditubuhkan sejak 1951 kalah dan mendapat undi tercorot melawan BN serta Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar minggu lalu adalah sesuatu yang sukar diterima oleh ahli dan pemimpin parti itu yang berfikiran rasional.
Sehingga kini, dua pemimpin utama Pas, Pesuruhjaya Selangor Iskandar Samad dan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man telah pun memberikan komen yang berbeza dengan ulama aliran keras parti itu. Iskandar, profesional yang tersisa selepas pemergian team Mohamad Sabu berkata, Pas tidak lagi boleh bersendirian menuju pilihan raya umum (PRU) ke 14. Beliau mencadangkan Pas diperkasakan dengan bantuan NGO-NGO.
Namun idea ini kelihatan lemah kerana NGO pro pembangkang telah pun ‘tepu’ sama ada bersama Pas atau Pakatan Harapan (PH). NGO JIM, Ikram dan sebagainya dilihat pro PH manakala selebihnya bersama Pas. Tiada NGO baharu yang boleh ditarik bergabung melainkan NGO pro Umno yang perjuangannya berasaskan kebendaan.
Sementara komen Tuan Ibrahim pula mencadangkan satu bentuk ‘electoral pact’ bersama pembangkang lain. Beliau terbuka untuk menerokai semula corak pergabungan Pakatan Rakyat yang telah musnah.
Namun kekurangan idea Tuan Ibrahim ialah meneruskan dendam Pas dengan amaran tidak akan bekerjasama dengan parti yang menjejaskan prinsip parti. Dapat difahami maksud beliau tertuju kepada DAP dan Amanah.
Kumpulan pemikir
Sesuatu yang sangat penting dan perlu difahami oleh Pas adalah ‘master mind’ di sebalik kecamukan Pas sejak kebelakangan ini. DAP bukan punca kecamukan itu sebagaimana yang dipropagandakan oleh ulama aliran keras. DAP sejak era 2008 lalu tidak pernah mengganggu pentadbiran Pas. Tidak ada negeri Pas sama ada di Kelantan atau Kedah yang dipersoalkan DAP program-program Islam atau peruntukan kepada pusat pengajian Islam dan sebagainya.
Pertentangan DAP hanyalah sekitar hukum hudud. Hudud bukanlah keperluan segera ketika negara dilanda kezaliman. Keutamaan adalah mewujudkan pemerintahan yang adil. Tidak ada nas al Quran yang boleh dihujahkan Pas bahawa hudud diutamakan berbanding menyingkirkan pemerintah zalim sekiranya boleh dilakukan secara aman. Menyingkir BN dalam pilihan raya adalah jalan aman dan suatu kesilapan jika Pas tidak mengambil peluang itu, malah berbaik pula dengan BN.
Oleh yang demikian, siapakah yang menimbulkan keporak perandaan dalam parti itu sejak setahun lalu? Tidak lain tidak bukan adalah ulama aliran keras yang taksub kepada agenda asabiyah Melayu – Islam. Agenda asabiyah ini diperangi habis-habisan ketika era Nik Aziz Nik Mat. Beliau sering menekankan tidak ada sesiapa minta jadi Melayu, Cina, India dan sebagainya. Semuanya ketentuan Allah dan Allah menyeru agar semua manusia saling bekerjasama dan lengkap melengkapi.
Ulama aliran asabiyah ini dibantu oleh sekumpulan pemikir yang pada 1990an serta awal 2000 lalu tidak menonjol kerana masih duduk di bawah Dr Dzulkifly Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP).
Kini tokoh PPP, Dr Zuhdi Marzuki menonjol dan mengambil peranan menasihatkan hala tuju parti. Daripada kumpulan pemikir inilah ulama dan pemimpin peringkat pertengahan Pas mendapat kekuatan. Analisis yang mereka keluarkan kononnya Pas lebih hebat jika bersendirian dan meninggalkan Pakatan Rakyat.
Think tank ini akhirnya berjaya mempengaruhi Presiden Hadi Awang. Hadi termakan propaganda kononnya berjuang bersama DAP adalah tidak islamik, sebaliknya berkerjasama dengan parti zalim, maksiat dan menyeleweng tetapi diuruskan oleh orang Islam seperti Umno, adalah lebih utama.
Kumpulan pemikir ini juga yang mengetengahkan fakta Pas masih diterima bukan Islam walaupun berpisah daripada sekutunya, PKR dan DAP. Hadi mempercayainya sementelah beliau tidak lagi mempunyai penasihat berwibawa seperti Datuk Haron Taib, Ustaz Abu Bakar Chik dan lain-lain. Penasihat yang tinggal daripada era kegemilangan Pas hanyalah Datuk Mustafa Ali.
Manakala pemimpin pertengahan Pas membiarkan think tank ini mempengaruhi pemikiran Hj Hadi dengan harapan ‘budak-budak UM dan UKM’ itu betul dan Pas akan menjadi lebih kuat serta mampu menegakkan agenda hudud lebih awal daripada dijangkakan.
Silap besar
Pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada Mei 2016 dan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar serta Sungai Besar pada Jun membuktikan sebaliknya. Ternyata pemikiran budak-budak UM dan UKM tidak boleh dipakai sama sekali.
Ramalan awal daripada think tank Pas kononnya parti itu mampu menguasai kerusi yang cuba dimenangi sejak 2006 di Sarawak, Dun Beting Maro dan dua kerusi lainnya meleset sama sekali. Pas kalah teruk di 9 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan. Namun kumpulan think tank Pas tidak mahu mengaku kalah lalu berkata prestasi mereka lebih baik berbanding Amanah yang baru berumur 8 bulan ketika itu.
Muncul PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Sekali lagi pemimpin Pas diberi fakta palsu, kononnya majorti pengundi Kuala Kangsar menyokong hudud; cukai GST akan menyebabkan pengundi menolak BN di Sungai Besar. Pada hari-hari terakhir kempen, Pas mengeluarkan kenyataan mereka bakal memenangi kedua-dua PRK.
Namun keputusannya amat mengecewakan. Pas kalah kepada Amanah yang berusia 9 bulan di Sungai Besar. Malapetaka apakah yang dibawa oleh kumpulan pemikir yang selama ini memberi mimpi indah kepada pemimpin Pas ini?
Loceng amaran
Kekalahan PRN dan PRK sewajarnya menjadi loceng amaran kepada pemimpin Pas yang sering mengutamakan fakta dalam berhujah. Inilah waktunya bekas pensyarah seperti Tuan Ibrahim bangkit menyatakan pendirian, bekas tenaga pengajar ustaz Idris Ahmad yang tidak pernah mengecewakan dalam memberi analisis situasi politik semasa wajib bangun dari lena menyanggah pendapat budak-budak UM dan UKM.
Mereka wajib menyatakan pendirian cukuplah idea merapu daripada PPP. Teori kumpulan yang dipimpin Dr Zuhdi itu tidak akan berjaya dan akan gagal lebih teruk jika presiden terus percaya kepada mereka. Bayangkan senario PRU ke 14 apabila Amanah bertanding di semua kerusi Pas, tentunya BN yang akan menang kerusi-kerusi berkenaan termasuk di Kelantan.
Adakah Umno akan melayan Pas sebaik hari ini jika dalam PRU 14 nanti mereka hilang banyak kerusi? Ketika dalam pakatan rasmi BN – Pas (1971 – 1978) pun BN sanggup menendang keluar parti Islam itu, apatah lagi hubungan BN – Pas kini berlangsung tidak rasmi. Hanya beberapa kali pertemuan Najib – Hadi sahaja.
Pemimpin pertengahan Pas perlu meyakinkan Hadi agar segera menjarakkan diri dari kumpulan pemikir UM dan UKM. Realiti di depan mata adalah kehilangan kerusi serta kuasa di Selangor dan Kelantan. Sedangkan DAP dan PKR tidak menghadapi situasi seburuk Pas kerana asas pengundi mereka di kawasan bandar yang kukuh pemikiran reformasi dan tidak akan termakan politik adu domba Umno.
Adakah Pas bersedia menjadi parti kecil dengan 5 – 9 kerusi DUN dan 4 – 5 kerusi Parlimen selepas PRU 14? Hadi mahu menjadi presiden Pas untuk bertahun-tahun lagi namun jika prestasi Pas amat teruk dua tahun daripada sekarang adakah pengikut di bawahnya akan bersabar?
Peringatan kepada Hadi ialah daripada dipaksa melepaskan jawatan ketika Pas lemah seperti bekas presiden Asri Muda, adalah lebih baik beliau melupakan ‘jalan kebahagiaan’ yang dijanjikan kumpulan pemikir yang menasihati beliau hari ini.
Gerakan pembaharuan
Kembalilah kepada penasihat lama, Mustafa Ali dan rakan-rakannya masih ada dalam Pas. Begitu juga pemimpin yang telah sekian lama jatuh bangun dalam parti seperti Tuan Ibrahim, Idris Ahmad, Iskandar Samad dan sebagainya.
Perlu juga muncul di dalam Pas gerakan pembaharuan anak muda yang menolak ulama aliran keras seperti Mokhtar Senik, Tatawi, Nik Abduh yang berpusing-pusing jalan perjuangannya. Ulama syok sendiri ini perlu ditolak dengan melantik ulama yang lebih rasional dan mampu berhujah secara berfakta.
Begitu juga teori Dewan Himpunan Penyokong PAS Cina / India yang lebih banyak membodek daripada memberitahu prestasi Pas secara jujur. Kononnya masyarakat Cina Sungai Besar menerima hudud dan India faham perjuangan Pas.
Buktinya dalam PRK lalu 70% masyarakat India mengundi BN dan selebihnya Amanah. Di Sungai Besar 65% masyarakat Cina mengundi Amanah dan selebihnya BN. Tiada untuk Pas.
Hadi berkata kekalahan Pas dalam PRK adalah takdir Allah. Namun apakah usaha manusia untuk menukarnya menjadi kemenangan. Sebelum reformasi 1998 kekalahan Pas juga dikatakan takdir Allah. Namun bukankah kebijaksanaan bekas Presiden Pas Fadzil Noor dan Mursyidul Am Pas Nik Aziz yang bersekutu dengan DAP dan PKR telah berjaya mendapat takdir yang lebih baik daripada Allah.
Pas perlu kembali ke meja rundingan. Amat sukar untuk mendapatkan rakan-rakan seperti PKR dan DAP, yang walaupun dicaci oleh Pas tetapi tetap membuka tangan untuk berunding. Tidak pernahkah pemimpin Pas terfikir bahawa mereka dihantar Allah untuk memperkuatkan kembali Pas?