Penarikan diri United Kingdom daripada Kesatuan Eropah (EU) atau singkatannya ‘Brexit’ (Britain Exit) memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia, bukan sebagaimana pendapat menteri BN, kesannya terhad kepada 1% sahaja.
Seorang usahawan Benny Lim, 48, berpendapat kerajaan BN terlalu meremehkan kesan yang dihadapi walaupun Britain negara kedua terkuat kedudukan kewangannya selepas Jerman. Fakta dagangan antara Britain Malaysia sekitar 1% tidak wajar digunakan kerana dagangan Malaysia sebelum ini melalui EU.
“Dulu apabila kita menandatangani perjanjian perdagangan dengan EU, misalnya untuk menjual teh dan biskut kita kepada mereka, Britain sebagai ahli EU wajib membeli teh dan biskut yang kita ekspot kepada negara-negara blok EU tetapi sekarang untuk menjual kepada Britain, Malaysia perlu menandatangani satu lagi perjanjian berasingan dengan Britain.
“Britain mempunyai pilihan untuk menolak perjanjian itu. Dengan ertikata yang ringkas, Britain boleh berhenti membeli biskut dan teh dari Malaysia,” kata Benny yang bergiat dalam urusniaga sewa ruang pejabat di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur memberi contoh kesan Brexit ke atas ekonomi Malaysia.
Selain dari itu, menurut Benny, ekonomi negara Britain adalah kukuh, kuat dan stabil dan mereka mempunyai imej yang baik. Dengan hal yang demikian maka kejatuhan nilai matawang Britain adalah untuk sementara sahaja manakala nilai matawang kita masih lemah berbanding dengan nilai matawang Amerika Syarikat dan kini masih sedang berada di atas paras RM4 untuk AS$1.
“Pemimpin negara kita harus juga memberi perhatian kepada nilai matawang Singapura dan Australia di mana nilainya telah naik ke atas paras RM3 untuk memperoleh SGD1 (matawang Singapura) dan AUD1 (matawang Australia).
“Pemimpin negara kita selalu mengeluarkan frasa seperti ‘our economy is resilient, our fundamentals are strong’ (ekonomi negara kita kukuh dan mampu bertahan walau dalam apa keadaan pun, asas kewangan kita adalah kuat) tetapi soalan saya ialah jika begitu, mengapa nilai matawang negara kita masih lemah?
“Negara China yang begitu kuat kedudukan ekonominya, negara kuasa besar (superpower) No. 2 selepas Amerika Syarikat pun rasa bimbang mengenai Brexit ini, tak kan negara kita yang bukan negara kuasa besar tak rasa bimbang?” soalnya sinis.
Oleh itu, kata Benny, pemimpin negara kita mesti mengambil langkah segera untuk menangani tempias yang akan terkena pada kita akibat dari perisitiwa Brexit yang telah menjadi kejutan seluruh dunia.
Pada 23 Jun lalu, rakyat Britain telah mengundi dalam satu referendum untuk keluar dari Kesatuan Negara-negara Eropah (European Union) yang mempunyai 28 negara sebagai ahli.