Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang direstui kerajaan BN menaikkan caj meletak kenderaaan mulai 18 Julai lalu terus mendapat kecaman pemimpin pembangkang serta rakyat jelata.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Khalid Samad menyifatkan tindakan DBKL itu tidak berhati perut ketika rakyat menghadapi kelembapan ekonomi dan sukarnya mencari pendapatan tambahan.
“Pada masa kegawatan ekonomi ini, kerajaan tak sepatutnya membebankan rakyat. Langkah menaikkan harga parkir adalah amat zalim pada masa leher rakyat sudah dijerut oleh berbagai kenaikan kos dan harga untuk pelbagai perkara,” kata beliau kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang juga ahli parlimen Shah Alam bertanya sama ada kenaikan di luar jangkaan itu menunjukkan kantung negara sedang kekeringan memandangkan tidak ada peningkatan mutu pengendalian parkir dilakukan oleh DBKL sebelum menaikkan caj.
Seorang guru muzik yang sering ke Kuala Lumpur untuk melakukan urusan bank, Margaret Chin, 44, membantah kadar caj berkenaan. Katanya, sekiranya DBKL ingin mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan menaikkan caj maka kerajaan sepatutnya menurunkan kadar tambang pengangkutan awam terlebih dahulu bagi menggalakkan orang ramai menggunakan LRT, keretapi dan bas.
“Kenaikan caj parkir ini terlalu tinggi pada masa ekonomi negara sedang menguncup dan harga makanan serta barangan dapur seperti bawang putih, halia dan sebagainya sudah melambung naik,” rungut beliau.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, kenaikan caj parkir itu membuktikan kerajaan BN tidak pernah memikirkan nasib rakyat bawahan berbanding kroni-kroni mereka.
“Kerajaan BN terlalu zalim dan tidak mempedulikan nasib rakyat biasa. Apakah makna cogan kata ‘Rakyat Didahulukan’ yang dulunya sering dilaung-laungkan oleh PM kita?” sinis beliau.
Mulai 18 Julai lalu, caj baharu parkir kereta di Bangsar, KL City Centre, Bukit Damansara, Taman Tun Dr. Ismail dan Sri Hartamas dinaikkan daripada 80 sen ke RM2 untuk satu jam pertama dan RM3 untuk setiap jam berikutnya. Untuk satu hari dari pukul 7.00 hingga 6.00 petang, caj baru boleh meningkat sehingga ke RM32.
DBKL membayangkan akan mengenakan caj baharu di kawasan-kawasan lain Kuala Lumpur bermula pada 1 Ogos dan kenaikan tersebut boleh mencecah hingga 200%.