Bekas Naib Presiden dan Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar mengecam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah memalukan negara ke serata dunia.
Menyifatkan skandal itu sebagai maha dahsyat yang akan terpahat dalam sejarah dunia buat selama-lamanya, Mahfuz menggesa kerajaan BN mengambil langkah tegas menangani skandal kewangan tersebut.
“Tindakkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan tindakan undang undang menyita hartanah bernilai AS1 bilion (RM4 bilion) serta dana 1MDB yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan setakat ini oleh peguam negara Amerika Syarikat adalah sesuatu yang sangat memalukan Malaysia.
“Tindakan DOJ telah menimbulkan persoalan apa jadi dengan institusi penyiasatan dan perundangan Malaysia? Ini menunjukan cengkaman kuasa politik ke atas institusi tersebut serta korupsi ‘dedak’ telah telah berakar umbi dalam institusi penyiasatan dan perundangan negara .
“Sepanjang timbulnya isu 1MDB dilihat semua institusi penyiasatan dan perundangan negara termasuk anggota kabinet telah menjadi pelindung kepada jenayah 1MDB.
“Paling memalukan siasatan yang dilakukan oleh penyiasat Amerika Syarikat merujuk kepada laporan siasatan yang dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia sedangkan pihak berkuasa Malaysia tak mampu mengambil apa apa tindakan undang undang ke atas pencuri wang 1MDB milik rakyat negara ini,” kecam Mahfuz dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena dengan itu mencadangkan Speaker Dewan Rakyat memanggil sidang khas parlimen selama empat hari bagi membenarkan satu resolusi dicapai melantik Peguam Negara baharu yang bebas dan berwibawa bagi membuka semula kes 1MDB.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah memanggil sidang khas Parlimen selama 4 hari bukan untuk memberi peluang Najib memberi penjelasan tetapi untuk mengemukakan dan meluluskan satu usul atas nama kerajaan atau usul persendirian bagi mencadang perlantikan Peguam Negara yang baru dan menyerahkan kepada Kebawah Duli Tuanku Yang DiPertuan Agong dan mengarahkan semua pihak membuka kembali kertas siasatan
“Peguam Negara baru ini boleh secara bebas mengambil langkah mengheret pencuri wang 1MDB milik rakyat Malaysia kemuka pengadilan.
“Tiada keperluan untuk menubuhkan suruhanjaya diRaja di waktu sebegini kerana kes telah melalui penyiasatan yang panjang dan ianya akan melambat lagi penyelesaian kes 1MDB yang menjadi Beban Negara (BN),” tegas Mahfuz.