DAP berkata pengumuman Yayasan 1MDB menaja seramai 1,100 orang mengerjakan ibadat haji merupakan usaha mengaburi mata rakyat di kala syarikat milik negara itu menjadi sasaran penyiasat Amerika Syarikat.
“Sumbangan Yayasan 1MDB bagi tujuan kebajikan merupakan sandiwara yang semata-mata bertujuan menutupi kerugian berbilion ringgit 1MDB disebabkan pengubahan wang antarabangsa melibatkan perdana menteri sendiri,” kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dipetik FMT.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mengulas sumbangan RM10.4 juta oleh 1MDB bagi membolehkan sekumpulan yang terpilih terdiri daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara mengerjakan ibadat haji tahun ini.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya semalam, kurang seminggu selepas Jabatan Kehakiman AS bertindak mahu menyita aset berkait 1MDB di negara itu atas tuduhan korupsi dan pengubahan wang haram.
Dokuman AS itu turut menamakan anak angkat Najib, Riza Aziz, dan antara lain mendakwa sejumlah AS$11 juta (RM44.8 juta) wang 1MDB dibayar kepada sebuah kasino di Las Vegas, yang menurut penyiasat bagi melangsaikan hutang judi ahli perniagaan Low Taek Jho.
Pua berkata tidak ada masalah malah beliau sendiri akan memuji 1MDB membuat sumbangan kebajikan sekiranya syarikat itu melaporkan keuntungan.
“Bagaimanapun, hampir kesemua dana 1MDB adalah hutang yang kemuncaknya berjumlah RM55 bilion, dan ia tidak pernah mencatat sesen untung pun dalam enam tahun kewujudannya,” kata Pua, yang merupakan anggota Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) yang ditugaskan menyiasat syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
P/S: Adakah sumbangan mengerjakan haji tujuan utama 1MDB ditubuhkan? Operasi lain 1MDB nampaknya rugi dan menimbulkan kontroversi. Hanya sumbangan haji sahaja yang dipuji. Jika kerajaan mahu sumbangan haji dijadikan matlamat 1MDB sebaiknya ditubuhkan Yayasan Haji Najib Razak. Modal pun kecil sahaja dan tidak sampai RM50 bilion seperti aset 1MDB.