Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengesahkan parti tersebut telah berjaya menubuhkan cawangan di semua daerah di negeri itu dan bersedia menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri atau umum dalam masa terdekat.
“Sambutan rakyat Terengganu terhadap Amanah adalah baik. Ramai yang telah memberitahu mereka sedang menunggu penubuhan parti baru ini yang akan menampakkan pembaharuan dalam senario politik negara dan memberi pilihan kepada pengundi selain dari Umno dan Pas,” katanya kepada Suara pakatan daliy.
Raja Kamarul yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjangkakan Amanah akan mendaftar lebih ramai ahli lagi walaupun sudah ramai yang menyokong perjuangan parti itu secara senyap.
Beliau menyifatkan rakyat Terengganu secara amnya adalah konservatif dan mereka takut menyinggung perasaan jiran-jiran yang masih ahli Pas dengan menyokong parti baharu.
“Oleh sebab itu, mereka tidak menyokong Amanah secara terbuka,” ujarnya.
Mengulas isu pergolakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Raja Kamarul berkata, keadaan semakin genting dan berkemungkinan BN akan membubarkan DUN sekiranya ada Adun mereka yang mahu bersama pembangkang.
“Masalah (pertikaian antara Mat Said dan MB Razif) telah meledak semula walaupun pada mulanya nampak semuanya telah dibereskan. Mungkin akan berlaku pilihan raya negeri selepas sidang DUN pada hari Isnin, 8 Ogos ini,” katanya.
Justeru itu, Amanah Terengganu, menurut Raja Kamarul sedang membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri jika terdapat pembubaran DUN dengan tiba-tiba.
Apabila ditanya mengenai ramalan beliau tentang tarikh Pilihanraya Umum K-14 pula, Raja Kamarul berasa bukan sesuatu yang mengejutkan jika Parlimen dibubarkan lewat tahun ini dan ini bermakna Amanah mesti berada dalam keadaan yang bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya umum secara mengejut.