Tajuk Malaysia negara gagal bukan lagi diulas oleh tokoh pembangkang seperti Lim Kit Siang atau Datuk Husam Musa, sebaliknya telah mendapat perhatian bekas Timbalan Perdana Menteri yang berwibawa seperti Tun Musa Hitam dan tokoh ekonomi Tan Sri Dr Ramon Navaratnam.
Kesemua mereka mendapati sekiranya urus tadbir lemah dan korup pada era Najib Razak berterusan maka Malaysia akan menjadi negara gagal sebagaimana Filipina atau Indonesia pernah melaluinya suatu ketika dahulu.
Bagi bekas Ahli Parlimen Teluk Intan M. Manogaran, potensi Malaysia untuk menjadi negara gagal berbanding mencapai Wawasan 2020 dalam empat tahun lagi adalah suatu realiti sekiranya majoriti rakyat enggan menukar kerajaan.
“Buat masa ini, nampaknya hala tuju negara kita semakin kabur. Rakyat dihimpit kos sara hidup yang membebankan, sementara semangat harmoni di antara kaum sudah tidak semesra seperti zaman pra-Merdeka,” ujarnya kepada Suara pakatan daily.
Kata tokoh DAP itu, keadaan semakin parah setiap hari akibat sikap pemimpin dan rakyat yang seolah-olah sudah ‘menyerah kalah’ dan tidak mahu lagi berjuang menangani perkembangan negatif negara hari ini.
Manogaran juga berkata, di mana sahaja beliau bersembang dengan rakyat biasa, mereka pasti menyatakan kebimbangan mengenai masa depan negara yang seolah-olah ‘hilang kemudi’.
“Saya amat berharap negara kita akan mencapai Wawasan 2020 dalam tempoh 4 tahun lagi sebab Malaysia mempunyai potensi yang cerah dengan rakyat yang berbakat serta sumber hasil yang melimpah-ruah.
“Cuma hari ini ramai bertanya adakah Wawasan 2020 akan tercapai ataupun tidak kerana majoriti rakyat negara ini masih berpendapatan rendah?” keluhnya.
Beliau juga berpendapat pemimpin negara terlalu banyak berpolitik dan berbalah untuk mengekalkan kuasa sehingga nasib rakyat marhaen amat daif dan tidak mempunyai pendapatan secukupnya untuk menyara keluarga.
“Rakyat yang kaya, amat kaya tetapi yang miskin papa kedana. Jurang perbezaan di antara yang kaya dengan yang miskin semakin melebar.
“Di sebuah kilang gaji seorang pekerja kilang atau kerani biasa berkali-kali ganda lebih rendah daripada gaji seorang pengurus. Situasi sebegini tidak wajar wujud jika kita hendak mencapai Wawasan 2020, tetapi setakat ini tiada pembaikan dalam perkara ini,” kata beliau dengan nada sedih.