Konsep pembangunan inklusif perlu diwujudkan di Malaysia dan bukannya menggunakan rangka kerja yang bergantung kepada bangsa dan agama, menurut sekumpulan ahli akademik.
Dalam satu perbincangan meja bulat yang diketuai oleh Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA) Denison Jayasooria, kumpulan ahli akademik berkenaan sepakat bahawa pembangunan dalam negara adalah terlalu berdasarkan perkauman.
“Kami tidak mempunyai konsep pembangunan inklusif, ini masalah paling besar di Malaysia.
“Ia (pembangunan) terlalu berasaskan perkauman dan polarisasi itu berlaku di peringkat institusi dan masyarakat,” kata seorang lagi felo KITA, KS Nathan semasa perbincangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.
Beliau berkata, pembangunan di negara ini perlu menggunakan pendekatan hak asasi manusia, dan bukannya berdasarkan perspektif etnik atau agama.
Apabila seseorang mula menilai pembangunan dari perspektif kaum atau agama, beliau berkata mereka akan berhenti melihatnya sebagai isu hak asasi manusia.