Gabungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menghasilkan tsunami meruntuhkan BN dalam pilihan raya umum ke (PRU) 14.
Tidak sebagaimana PRU 1999 hanya berlaku tsunami Melayu yang menyaksikan undi Melayu 60 peratus menyokong pembangkang tetapi Cina dan India menyokong BN dan PRU 2013 berlaku tsunami Cina, di mana 90 peratus pengundi etnik itu menyokong Pakatan Rakyat sedangkan Melayu menyokong BN, PRU 14 kelak akan menyaksikan tsunami tiga bangsa.
Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat keyakinan kaum Melayu, Cina dan India terhadap pembangkang terbentuk selepas Dr Mahathir berbaik-baik dengan Anwar, dan peristiwa itu akan mengundang ‘pemikiran semula’ hala tuju politik negara oleh ketiga-tiga bangsa tersebut.
“Nah, adalah munasabah dan tidak mustahil untuk kali ini, ketika kedua mantan PM dan TPM bergabung, bukan sahaja segmen ‘pengundi Melayu pro-perubahan’ bahkan rakyat patriotik yang merentasi semua kaum, agama dan budaya bahkan afiliasi politik, akan mencetuskan satu gelombang besar perubahan,” katanya kepada Malaysia Dateline.
Beliau mengulas pertemuan dan berjabat tangan erat antara Tun Mahathir dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September lalu.
Ia diikuti dengan gabungan antara peguam kedua-dua pihak menentang Akta Majlis Keselamatan Negara yang dilaksanakan tanpa mendapat kelulusan dari Majlis Raja-raja Melayu itu.
Bagi beliau, pertemuan 5 September itu satu peristiwa ajaib yang tentunya menjanjikan satu permulaan baru buat naratif politik Malaysia.
Ia satu titik mula kembali bagi meneruskan gandingan kepemimpinan dua tokoh besar ini, katanya.
“Saya yakin rakyat teramai mahu menyaksikan pertautan dua tokoh negarawan ini, yang saling menunjukkan jiwa-besar mereka, demi mengangkat agenda memakmurkan rakyat dan menyelamatkan negara,” kata Dr Dzulkefly.
Oleh itu, katanya, mereka tidak mempunyai waktu lagi untuk berlengah bagi membicara perihal ‘titik-bengik kesilapan silam’
Bagi beliau, yang paling penting dari kesemua peristiwa bersejarah itu adalah menterjemahkannya kepada satu perubahan.
“Ia yang amat dinanti-nantikan sebahagian besar rakyat Malaysia amnya dan segmen pengundi Melayu pro-perubahan khasnya, yang sangat mendambakan penanambahbaikan serta penamatan kepada segala kebobrokan kepimpinan yang tempang mutakhir ini,” katanya.
Beliau yakin penyatuan aura kedua-dua tokoh berkenaan mampu menamatkan pentadbiran PM Najib yang dianggotai ahli-ahli politik tidak terkenal malah korup, berbanding nama-nama besar dalam pembangkang
“Saya yakin bahawa saya mewakili suara rakyat teramai yang mendambakan kepemimpinan dua peribadi hebat ini ketika usia masih berbaki ini dan sebelum mereka kembali dipanggil llahi.
“Ayuh..kami sedia membantu kalian dengan segala-galanya!” Dr Dzulkefly dengan bersemangat.