Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan adakah Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar menerima arahan daripada Umno apabila menyiasat tiga bekas anggota kabinet ekoran ucapan yang menyentuh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat.
Beliau juga menimbulkan persoalan bagaimanakah nasib siasatan ke atas 1MDB yang berjalan lembab sedangkan siasatan ke atas bekas menteri BN itu berjalan pantas.
“Adakah KPN dah jadi ‘belaan’ Umno? Jika benar ucapan dan perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen berkaitan 1MDB mengganggu siasatan, apakah ada siasatan yang dijalankan oleh PDRM tentang 1MDB? Sudah berapa lama siasatan berkaitan 1MDB yang dijalankan oleh PDRM? Apakah statusnya?” soal Mahfuz dalam satu kenyataan.
Beliau juga menyifatkan Khalid tidak faham perlembagaan negara apabila mengarahkan siasatan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Ahmad Husni Hanadzlah ekoran kontroversi itu.
“Saya tidaklah ambil pusing sangat sebelum ini kerana yang membuat bising menuntut supaya tindakan undang-undang diambil ke atas tiga bekas menteri tersebut adalah dari kalangan pemimpin-pemimpin Umno atau NGO-NGO ‘belaan’ Umno.
“Namun, apabila KPN sendiri mengeluarkan kenyataan yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan, ianya menggambarkan betapa ceteknya pengetahuan orang nombor satu PDRM (Polis Diraja Malaysia) berkaitan asas undang-undang dan Perlembagaan,” ujarnya.
Bekas Naib Peesiden Pas itu berkata, KPN seharusnya faham bahawa hak mana-mana Ahli Parlimen untuk bercakap berkaitan apa sahaja perkara sewaktu berbahas di Parlimen adalah dilindungi dan kebal daripada sebarang tindakan undang-undang seperti peruntukan dalam Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh sebab itu, jika benar sekalipun terdapat pelanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA), ianya tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah dan tidak boleh didakwa oleh kerana ucapan yang dibuat di dalam Parlimen adalah dilindungi dan kebal dari sebarang tindakan mahkamah
“Tindakan membahas atau membangkitkan isu urus tadbir, kewangan dan jenayah seperti skandal 1MDB tidak langsung termasuk dalam definisi ‘kecenderungan menghasut’ mengikut Seksyen 3(1) Akta Hasutan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan menyalahgunakan kuasa polis sehingga ke institusi Parlimen yang sepatutnya selamat daripada sebarang penindasan menunjukan ruang demokrasi semakin sempit di negara ini.
“Saya tidak faham dari mana nasihat atau tunjuk ajar soal asas undang-undang yang KPN dapat, apabila secara semberono beliau mengatakan perbahasan tiga bekas menteri di Parlimen yang menyentuh kes 1MDB boleh ditafsirkan sebagai suatu kesalahan yang disiasat di bawah Akta Hasutan
“Sumpah kerahsiaan menteri tidak boleh diguna untuk menyembunyikan salah laku kerana ia bukannya undang-undang jenayah, sebaliknya hanya peraturan atau etika dalam kerajaan.
“Begitu juga OSA dan Akta Hasutan tidak terpakai atas apa yang diungkapkan oleh tiga orang bekas menteri tersebut kerana ianya tidak termasuk dalam definasi rahsia rasmi dan kecenderungan menghasut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mahfuz mendesak supaya KPN memberhentikan serta-merta penyiasatan ke atas ketiga-ketiga bekas anggota Kabinet terbabit.