Penangkapan berbelas-belas pimpinan NGO Bersih dan aktivis masyarakat sejak beberapa hari lalu dikhuatiri menakutkan pelabur asing untuk terus menanam modal di negara ini.
Demikian pendapat seorang pesara industri kewangan, Albert Choo, 60 tahun yang pertama kali menghadiri Perhimpunan Bersih pada 19 November lalu.
Menurut Albert, penangkapan itu akan mewujudkan gambaran politik yang tidak stabil dan ianya akan menggusarkan pelabur dari negara Barat.
“Penangkapan pemimpin mewakili rakyat biasanya menarik tumpuan pelabur asing dan pemerhati politik di seluruh dunia.
“Justeru, langkah penangkapan itu memang tidak bijak memandangkan pada hari Jumaat, 18 November lalu, nilai Ringgit jatuh pada paras RM4.40 untuk AS$1. Saya anggarkan Ringgit akan jatuh lagi minggu depan hasil penangkapan yang dilakukan itu,” katanya.
Albert menegaskan, walaupun ekonomi Malaysia lembab namun masih ramai pelabur asing yang mengekalkan pelaburan berbentuk bon dan akan matang pada hujung tahun ini.
“Jika mereka merasakan nilai Ringgit tidak stabil, maka mereka mungkin mengeluarkan modal apabila bon-bon tersebut matang nanti. Kalau itu berlaku, susahlah negara kita kerana nilai matawang kita akan jatuh lagi,” tambahnya.
Albert memberitahu, kebanyakan pelabur asing amat tidak suka dengan sikap pemerintah Malaysia yang merahsiakan tarikh pilihan raya. Kerahsiaan itu menimbulkan ketidaktentuan pasaran dan menggugat iklim pelaburan .
Selain daripada itu, katanya, isu 1MDB juga menghantui situasi pelaburan di negara ini.
“Adakah mana-mana firma audit yang sedang memeriksa akaun 1MDB pada masa ini? Mengapakah beberapa firma audit telah berhenti dan tidak mahu meneruskan audit ke atas 1MDB?” tanya Albert yang menerangkan bahawa perkara ini memberikan imej negatif pada keseluruhan ekonomi dan peranan kerajaan dalam ekonomi.