Tidak diketahui idea siapa, adakah idea Dr Rais Yatim atau beberapa politikus tua Umno, namun menyiarkan klip demonstrasi Bersih kononnya rakyat mengasari polis adalah sesuatu yang dungu. Pratik ini pernah dilakukan kerajaan BN untuk menutup keganasan polis menembak mati 13 orang pengikut ustaz Ibrahim Libya di Memali pada 1985 dahulu. Ketika itu kerajaan berjaya mempengaruhi pendapat awam dengan penayangan beberapa klip video rusuhan.
RTM menyiarkan klip video tersebut selepas beberapa minggu peristiwa hitam Memali. Ditayangkan pada jam 8.30 malam. Klip yang disunting rapi memaparkan kemunculan seorang separuh baya memegang parang panjang menghadap kenderaan polis. Slot seterusnya jaguh itu terbaring di atas jalan terkena tembakan. Beberapa orang wanita mara ke arah polis, buluh dan kayu dilempar ke atas jalan. Kemudian ditayangkan pula bagaimana beberapa anggota polis tercedera ketika bertempur menghadapi orang kampung. Ditunjukkan polis berulang-alik tiga kali berunding dengan orang kanan Ibrahim Libya meminta ustaz PAS itu menyerah diri agar ditahan di bawah ISA secara aman. Namun permintaan polis ditolak oleh Ibrahim. Akhirnya, polis tiada pilihan selain menggempur Ibrahim dan pengikutnya dengan tembakan peluru hidup.
Penyiaran itu diulang tayang beberapa kali dan ditayangkan juga kepada orang asing. Kemudian beberapa orang penyokong Ibrahim Libya yang ditahan ISA sebelum dibebaskan dikehendaki meminta maaf secara terbuka di hadapan lensa RTM atas kesalahan mereka, dan disaksikan oleh sekelian rakyat Malaysia.
PAS kalah teruk
Kasihan kepada PAS, dalam pilihanraya 1986 parti itu kalah teruk , hanya menang 1 kerusi parlimen dan beberapa kerusi DUN di seluruh negara. RTM, polis dan BN berjaya mengkambing hitamkan PAS. Sedangkan, apa yang sebenarnya berlaku Ibrahim Libya bukanlah pesalah jenayah. Beliau mengajar agama yang tidak selari dengan dasar BN. Kerana itu beliau ditahan ISA. Hanya kesalahan politik dan Menteri Dalam Negeri ketika itu mengerahkan 3,000 anggota polis menggunakan kereta perisai menggempur madrasah Ibrahim. Orang kampung yang marah mempertahankan tok guru mereka dengan apa sahaja senjata ditangan. Rumah Ibrahim dirempuh dan Ibrahim serta 13 pengikutnya syahid ditembak.
Namun, dua bulan kemudian Ibrahim dan PAS tersemat di dalam minda rakyat sebagai pengganas. Maklumlah ketika itu hanya RTM1, RTM2 dan TV3 yang bersiaran. Tiada televisyen satelit, internet hanya digunakan di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan Eropah. Tiada Harakah atau Suara Keadilan diterbitkan, akhbar arus perdana bebas memutar belit isu. Rakyat termakan propaganda BN.
Setelah 25 tahun, pendekatan sama cuba digunakan untuk mengambarkan demo Bersih sebagai ganas. Sehari sesudah demo majoriti rakyat Malaysia telah pun menonton aksi kejar-mengejar dan sepak terajang polis di you tube. Apakah faedahnya TV1 atau TV3 menyiarkan rakaman mengarut yang telah disunting?
BN gagal hadapi rakyat
Tentunya ia disasarkan untuk tontonan masyarakat kampung yang tidak mempunyai akses internet. Dalam hal ini, BN dilihat kehabisan cara menangani kebangkitan masyarakat bandar yang peka maklumat. Mereka telah tahu siapa yang bersalah pada 9 Julai itu dan tidak mungkin mengundi BN pada pilihanraya akan datang. Jadi, simpanan selamat BN hanyalah masyarakat kampung yang boleh mempercayai propaganda ala-Memali.
Namun satu perkara yang BN tidak sedar ialah separuh dari 100,000 penunjuk perasaan pada 9 Julai lalu datangnya dari kampung. Masyarakat bandar di seluruh Selangor hampir tidak berjaya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur kerana berkereta pada jam 12 tengah hari. Puluhan ribu tersangkut di beberapa batang lebuh raya utama yang ditutup.
Siapakah yang menjayakan demonstrasi? Mereka itulah orang kampung yang datang sejauh Kelantan, Johor, Kedah, malah Sarawak. Orang-orang kampung ini bermalam di Kuala Lumpur sejak petang Khamis. Dilaporkan 30,000 warga kampung telah pun berada di Kuala Lumpur menjelang 9 Julai.
Sekiranya seramai itu warga kampung yang datang untuk menyatakan sistem pilihanraya di Malaysia tidak adil, tidak jujur dan penuh penipuan bayangkan berapa ratus ribu lagi di belakang mereka yang tinggal di kampung. Anak, isteri dan saudara mara menanti kepulangan mereka untuk mendengar cerita tumbukan dan tendangan polis pada hari kejadian. Cerita itu dibantu pula oleh Harakah dan Suara Keadilan. Bukti bergambar yang tidak mungkin menipu.
Jadi di mana BN akan menyorok? Tentunya tidak banyak berbeza propaganda itu nanti dengan kesan labun ‘bangang’ ahli parlimen PKR yang keluar parti. Berapa kali sudah Zul Nordin memburuk-burukkan Anwar di TV1, apa kesannya? Berapa kali Zahrain dan lain-lain muncul mencabar Anwar, PKR dan PR, adakah tohmahan mereka memberi kesan? Sekiranya berkesan mustahil hampir 100,000 penunjuk perasaan berhimpun pada 9 Julai.
Hadapi Realiti
Propaganda basi TV1 dan TV3 tidak lagi dipercayai malah oleh orang kampung sekali pun. Lebih baik BN berdepan dengan realiti daripada menerima nasihat politikus nyanyuk dalam Umno yang mahu membawa agenda ala-Memali. Realitinya harga barang keperluan hidup melambung, pendapatan tidak berubah, biasiswa untuk anak Melayu hampir tiada, bagi pemuda pula pekerjaan semakin sukar, jika wujud pun kadar gaji amat rendah. Inilah realiti getir di Malaysia yang tidak cuba diselesaikan dengan baik oleh kerajaan memerintah.
Mereka yang bersusah payah datang dari kampung itu hanya separuh niat di hati ingin menuntut pilihan raya yang bebas dan adil. Selebihnya niat mereka ingin memberitahu keperitan hidup tidak tertanggung bernaung di bawah kerajaan BN yang terus mengumumkan projek mega tetapi membiarkan rakyat bawahan hidup sensara.
Rakyat yang telah menanggung derita sejak lama tidak perlu ditunjukkan mereka itu ganas berhadapan dengan polis. Malah jika sampai ke tahap sukar untuk membeli makanan maka keganasan itu akan menjadi rutin seharian mereka untuk meneruskan hidup. Inilah hukum dunia. Setiap manusia harus dilayan dengan seadilnya. Sekiranya tidak, mereka akan memberontak.
Daripada BN membazirkan wang menyiarkan slot keganasan demo Bersih 9 Julai yang tidak akan menimbulkan banyak kesan adalah lebih baik mereka mendengar nasihat Marina Mahathir agar kerajaan berbaik sangka dengan rakyat termasuk pembangkang. Penuhi keperluan hidup mereka dan sediakan masa yang cukup untuk mendengar rintihan.
Hanya itu sahaja cara negara maju dan bertamadun melayan tuntutan dari tunjuk perasaan rakyat. Dengan cara itu juga undi dijamin akan kekal kepada mereka. Bukan seperti perilaku BN yang terus membelasah Bersih sehingga selepas dua minggu berlalunya tunjuk perasaan. Sedangkan desakan rakyat masih juga tidak dilayan. Sistem pilihanraya tidak mahu diperbaiki.
Kerajaan menjadikan perlawanan dengan Bersih untuk mempamerkan kekuatan. Mereka menganggap berjaya selagi mana tidak berlembut dengan sebarang tuntutan. Sedangkan semakin lama kerajaan mempamerkan kekuatan semakin banyak rakyat membenci mereka. Di dalam sistem demokrasi peti undi menjadi penentu dan kebencian terkumpul rakyat akan menjadi racun membinasakan BN pada hari pilihanraya
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis, tidak semestinya mewakili pandangan suarapakatandaily