Presiden Amanah Mohamad Sabu menegaskan parti itu bersedia menjadi benteng menghalang sebarang bentuk kebencian kaum atau agama (takfiri) dari terus dijadikan agenda politik di kalangan rakyat.
“Amanah menegaskan bahawa politik di Malaysia mestilah menolak sebarang bentuk unsur pelampau dan keganasan, sama ada atas nama kaum, mahu pun agama,” ujarnya yang mesra dipanggil Mat Sabu.
Beliau berkata, negara yang diimpikan adalah negara melaksanakan pemerintahan yang berteraskan tadbir urus yang baik, selari dengan tuntutan prinsip amanah, keadilan, kesaksamaan dan ketelusan.
“Kita mengimpikan sebuah negara di mana seluruh segmen warganegara dapat digembleng potensi, keupayaan dan kepakaran mereka, bagi membina sebuah masyarakat yang menyantuni nilai-nilai kesederhanaan, keterbukaan, demokratik, hormat menghormati, bersatu padu dan berdaya maju sesuai dengan perlembagaan persekutuan,” tambahnya lagi.
Mat Sabu juga menyelar PM Datuk Seri Najib Razak yang kadang kala dilihat keliru dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berhubung pendekatannya dalam menuntut keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan.
Menurut beliau, pemimpin negara itu harus menggunakan kuasanya yang lebih wajar berbanding sekadar himpunan.
“PM juga bertindak ajak demo sedangkan dia pimpinan kerajaan.
“Dia boleh panggil duta Myanmar atau mengusir diplomat kerajaan Myanmar atau paling tinggi, panggil sidang OIC.
“Turun tunjuk perasaan itu kerja aku. Dia tak tahu kadang-kadang dia PM ke atau tidak,” bidasnya diikuti tepukan dan ketawa perwakilan yang memenuhi dewan SACC di Shah Alam hari ini.
Mat Sabu yang menyampaikan pidatonya dalam Konvensyen Nasional Amanah juga menyifatkan hal berkaitan diplomatik bukan melalui jalan raya.
“Berucap (Himpunan Solidariti Rohingya) sikit-sikit takbir, sekarang semua takbir dah. Inilah kita lihat, nak kata tak cerdik, cerdik.
“Kalau tak cerdik, bagaimana boleh sembunyikan wang. Hal diplomatik ajak turun ke jalan raya. ‘Kawannya’ pun serupa juga,” sindirnya merujuk kepada Pas.
Mat Sabu turut secara sinis menggambarkan gejala rasuah yang membarah di negara ini amat serius dalam sejarah sejak merdeka.
“Buka Pejabat Pengarah Bekalan Air Sabah ada berjuta wang. Buka Seri Perdana ada 24 lori wang tunai,” bidasnya lagi.
Selain itu, presiden Amanah itu menawarkan Orang Asli untuk bertanding sebagai calon parti itu di Kelantan.
“Parti Amanah bersedia menerima Orang Asli sebagai calon pilihan raya bukan saja di Kelantan bahkan di seluruh negara.
“Ramai Orang Asli yang berpotensi yang tidak diketengahkan sebelum ini,” ujarnya ketika menyampaikan pidato dalam konvensyen sulung parti tersebut di Shah Alam hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menekankan tentang pentingnya prinsip kerjasama di antara parti dalam Pakatan Harapan yang tidak terhenti pada pilihan raya sahaja.
“Kita mahu Pakatan Harapan bekerjasama sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
“Jangan selepas pilihan raya, bekerjasama dengan pihak lain. Tidak. Tidak,” tegasnya.
Mohamad juga mengucapkan penghargaan terhadap perjuangan Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang dikenakan hukuman di bawah Sosma.
“Amanah menyokong semua tuntutan Bersih. Sosma janji mulanya untuk pengganas rupanya ketua pengganas, Maria Chin.
“Dulu sama juga’ ISA, tangkap komunis tapi yang kena tangkap saya,” ujarnya dengan nada berseloroh kepada Dr Mahathir yang turut hadir pagi ini.
Beliau turut mengingatkan hadirin bahawa tiada kawan atau musuh yang kekal dalam politik.
“Mana nak sangka Tun Mahathir boleh bersama kita pada hari ini. Mana nak sangka orang yang disanjung berada di sebelah sana.
“Sekarang (Pas) dengan suami lain. Cemburu saya,” katanya sekali lagi berseloroh dipercayai merujuk kepada Pas.
Selain Tun Mahathir, tetamu khas konvensyen sulung Amanah pagi ini adalah Penasihat merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Lim Kit Siang dan Naib Presiden PRK Nurul Izzah.
Turut hadir Datuk Husam Musa, Rafizi Ramli, Datuk Kamarudin Jaafar , Nik Nazmi Nik Ahmad , Datuk Zaid Ibrahim dan Xavier.