Pemuda Amanah Nasional menggesa supaya perbincangan dengan Pas berhubung Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diputuskan pada kadar segera.
Ketuanya, Sany Hamzan berkata, Amanah bersedia untuk bertanding walaupun berdepan banyak penjuru sekiranya Pas masih enggan bersama blok Pakatan Harapan.
“Kalau Pas tidak mahu untuk bersama Pakatan Harapan untuk menentang Umno, kita nak jelaskan Amanah bersedia untuk masuk PRU14 dua, tiga, empat dan lima penjuru sekali pun,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua merangkap Ahli Parlimen Batu yang dilihat masih memihak kepada Pas berbanding Amanah.
“Ada pimpinan PKR, saya sebutkan Tian Chua, tidak yakin menang untuk PRU14 tanpa Pas.
“Dia nak berkendakkan parti (Pas) yang flip-flop. Kalau tidak yakin menang, bagi saja (calon bertanding) pada Amanah Batu,” tegasnya disambut tepukan gemuruh perwakilan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan fokus utama adalah untuk menggulingkan Umno-BN dengan meninggalkan politik fitnah.
“Kita mahu masuk bertanding di mana kerusi yang Pas bertanding. Patutnya, kita balik terus buat kerja.
“Pemuda mahu ketetapan kita hendak buat satu pusat daerah mengundi dijaga oleh satu cawangan. Kita tinggalkan parti lama.
“Tinggalkan politik adu-domba dan fitnah. Yang penting, di depan kita adalah Umno-BN yang mesti ditumbangkan,” tambahnya lagi ketika ucapan penangguhan Konvensyen Nasional Amanah. Malaysia dateline