PAS berkata usahanya mendampingi PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam sebuah ceramah “mega” di Paya Jaras, Selangor malam ini merupakan antara langkah mewujudkan blok politik berasingan tanpa pembabitan musuh ketatnya Amanah dan DAP.
“Ya, sekurang-kurangnya di Selangor,” kata Setiausaha PAS Selangor, Khairuddin Othman ketika ditanya sama ada ia usaha mewujudkan blok berasingan tanpa penyertaan kedua-dua parti itu.
Dinamakan “Ceramah Mega Rakyat”, program anjuran PAS Selangor itu turut menampilkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi pentas dengan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Khairuddin yang juga Adun Paya Jaras, berkata pihaknya sengaja tidak menjemput Amanah dan DAP walaupun kedua-duanya dianggap sekutu PKR dan PPBM.
“Kami tidak menjemput DAP atau Amanah kerana jawatankuasa pusat sudah menyatakan tidak ada hubungan dengan mereka.
“Lagipun, parti yang hadir (ke ceramah) adalah yang menumpukan kerusi majoriti Melayu,” kata Khairuddin kepada FMT.
PAS sebelum ini menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP dan Amanah. Parti itu juga belum memutuskan sama ada mahu mengadakan perjanjian dengan pembangkang lain bagi memastikan pertandingan 2 penjuru menentang Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
PPBM baru-baru ini menyatakan hasrat menyertai Pakatan Harapan, gabungan politik PKR, DAP dan Amanah yang ditubuhkan selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP tahun lalu.
Khairuddin berkata ceramah malam ini membuktikan komitmen PAS memastikan Umno ditentang satu-lawan-satu.
Ceramah itu dianjurkan menjelang pertemuan pemimpin PPBM dengan Pakatan Harapan bagi membincangkan penyertaan secara rasmi ke dalam gabungan itu. FMT