Pemimpin gerakan Islam sepakat dan membantah keras pendekatan yang diambil oleh Iran dan Hizbullah Lubnan yang terlibat secara ketenteraan dalam konflik di Syria dan Yaman.
“Bagi pimpinan gerakan Islam dunia tidak timbul langsung soal konflik yang berlaku ini adalah persoalan ‘Khilaf’ atau ‘Ijtihad Politik’ maupun ‘Ta’awun’ bagi mengelakkan perpecahan,” dakwa Dr Syed Azman Ahmad Nawawi bekas Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas dalam satu tulisan hari ini.
Katanya, bagi pimpinan gerakan Islam tiada sebarang keraguan mengenai peranan Iran dan Hizbullah Lubnan untuk membantu regim Al Assad supaya terus berkuasa dan membunuh Umat Islam di Syria.
“Ingat! Kita sedang berhadapan dengan musibah ummah yang amat parah. Darah umat Islam sedang mengalir dengan harga yang amat murah di serata dunia.
“Renunglah apa yang sedang berlaku di Syria, Yaman, Libya, Irak dan Afghanistan,” katanya dalam tulisan itu.
Menurut beliau, di bumi Syria sahaja sudah lebih 1 juta saudara-saudara kita menjadi korban konflik yang tidak menampakkan kesudahan. Lebih 6 juta rakyat Syria kini menjadi pelarian dan merempat di pelbagai negara.
Saban hari anak kecil di bunuh, ibu-ibu dibom, isteri kehilangang suami dan anak-anak kehilangan bapa. Semua ini berlaku di hadapan mata kita 1.7 bilion umat Islam.
Bekas Setiausaha Politik Presiden Pas itu berkata, beliau memahami pendirian yang diambil oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu ini.
“Walaupun saya telah lebih setahun tidak bersama dengan Pas, saya sendiri telah banyak kali bersama beliau menghadiri program Muktamar Taqrib ini di Tehran dan bertemu dengan pimpinan Iran termasuk bekas Presiden Khatami, Ahmadinejad dan Ayatullah Khamenaie sendiri.
“Begitu juga kami bertemu dengan pimpinan Hizbullah Hassan Nasrullah di Beirut. Bagi saya apa jua perbezaan yang ada saya tetap menghormati pendirian yang diambil oleh beliau,” katanya yang juga Pengerusi Asia Forum for Peace & Development (AFPAD).
Beliau tidak kesah Abdul Hadi mengambil pendirian sendiri dalam isu ini.
“Ambilah perdirian yang tersendiri. Akan tetapi jangan sekali-kali kita cuba memburuk-burukkan pihak lain termasuk para ulama yang muktabar seperti Sheikh Qaradawi dan Sheikh Ghanoushi dan jangan sekali-kali cuba mengheret mana-mana pihak lain termasuk pergerakan Ikhwan atau Hamas untuk disamakan dengan sikap kita ini,” kata Adun Batu Burok, Terengganu yang pakar dalam isu gerakan Islam sedunia itu.
Menurutnya, Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) pimpinan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Setiausaha Agungnya Dr. Ali al-Qaradaghi membantah lawatan Abdul Hadi ke Tehran.
Lawatan Hadi ke Iran tidak mewakili KUIS dan lawatan tersebut adalah lawatan yang tidak sah daripada mana-mana kakitangannya dan ia tidak mewakili sesiapa selain orang yang melaksanakannya.
Bagi Qardawi juga, kata Syed Azman, Iran memainkan peranan jahat dan membunuh keluarga kita di Halab/Aleppo khasnya dan Syria amnya.
Beliau juga berkata, Ikhwan Muslimin juga membantah dengan keras rejim Basyar Assad yang memenjara dan membunuh ribuan rakyat mereka yang bangkit menentang rejim.
Mereka juga membantah dengan keras penglibatan Iran dan Hizbullah Lubnan secara ketenteraan terutama dalam konflik di Syria dan Yaman.
Begitu juga harakah Hamasdan Jihad Islami Palestin. Mereka telah menutup pejabat mereka di Damsyik dan semua pimpinan tertinggi mereka berpindah keluar dari Syria sebaik sahaja berlaku konflik berdarah di Syria.
“Perlu diingat bahawa dalam konflik di Syria ini, selain dari Sheikh Yusuf Qaradawi, ulama-ulama lain seperti Sheikh Rached Ghanoushi dan kebanyakan ulama-ulama besar dari Syria sendiri serta pimpinan gerakan Islam di Moroko, Yaman, Sudan dan pergerakan Jamaat Islami dan Ikhwan Muslimin di serata dunia ‘secara jumhur menolak’ rejim Basyar Assad di Syria,” katanya.
Mereka juga membantah keras pendekatan yang diambil oleh Iran dan Hizbullah Lubnan yang terlibat secara ketenteraan dalam konflik di Syria dan Yaman.
Sehubungan itu, Syed Azman meminta para ulama-ulama, guru-guru dan anak muda yang berkobar-kobar semangat mereka, “cukup-cukuplah kita mencaci maki, memanggil teman-teman yang kita pernah bersama sejak berpuluh-puluh tahun berkorban dan bersama merasa susah jerih perjuangan ini dengan panggilan keji dan nista. ”
“Apakah kita merasakan kita ‘lebih suci’ dari mereka kerana kita adalah golongan Al-Azahari atau Al-Baghdadi atau Al-Sudani dan berhak mencaci maki mereka? Apakah kita merasakan kita sahaja berjuang di jalan Allah?
“Hentikan memanggil sahabat kamu sendiri sebagai ‘pengkhianat’, ‘barua’, ‘golongan terlaknat’,” katanya.
Bagi beliau, perbezaan tidak semestinya meleraikan ukhuwah yang telah terbina sejak berpuluh-puluh tahun.
“Ingat kita semua adalah pendakwah dan bukannya penghukum.” Malaysia dateline