Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini melahirkan kebimbangan terhadap keadaan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang menurutnya boleh menjejaskan keupayaan memenuhi tanggungjawabnya kepada lebih 100,000 peneroka.
Rafizi, yang juga naib presiden PKR, berkata majoriti peneroka Felda bergantung kepada agensi persekutuan sebagai bantuan penanaman semula kelapa sawit di 4 hektar tanah mereka.
Beliau menjelaskan kelapa sawit perlu ditanam semula apabila mencapai tempoh matang tertentu dan menelan kos yang tinggi. Justeru, peneroka terpaksa bergantung pada Felda untuk melakukannya.
“Felda tidak membuka penempatan baru sejak 1990. Peneroka terakhir pada lewat 1980-an dan pokok kelapa sawit mereka tanam sudah matang.
“Buat masa ini, cabaran paling besar bagi Felda dan peneroka adalah berkenaan pengurusan 4 hektar tanah.
“Sebarang gangguan kepada penanaman semula akan memberi kesan besar terhadap peneroka kerana sawit adalah sumber pendapatan utama mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Invoke Malaysia.
Memetik laporan tahunan Felda pada 2014, Rafizi berkata perbelanjaan kasar bagi penanaman semula kelapa sawit adalah RM2.5 bilion, berbanding pendapatan direkodkan RM87.1 juta bagi tahun yang sama.
“Maksud saya adalah, anda sudah bergelut untuk melakukan perkara yang menjadi tujuan utama kewujudan anda, iaitu untuk menjalankan penanaman semula bagi peneroka.
“Dan sekarang anda ingin membeli sebuah ladang Indonesia dengan harga 3 kali nilai saham.
“Perlu diingatkan ladang Indonesia terkenal dengan prosedur operasi yang kompleks.”
Semalam, Rafizi mendakwa Felda membayar premium 290% (RM2.26 bilion) bagi 37% pegangan saham dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).
Rafizi juga mempersoalkan mengapa Felda masih belum membentangkan penyata kewangannya bagi 31 Disember 2015 kepada ahli Parlimen, sambil menambah Felda menghadapi masalah kewangan selepas menunjukkan kerugian bersih sebanyak RM2.312 bilion pada tahun 2013 dan RM1.023 bilion pada 2014.
Rafizi memberi amaran sebarang perbelanjaan kini hanya akan memburukkan lagi kedudukan kewangan Felda.
“Kebimbangan saya adalah Felda kini berada dalam keadaan terlalu teruk untuk membolehkannya menjamin kehidupan peneroka untuk 20 tahun akan datang.”