Perang saraf dan mencari identiti sedang bermula dan berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijangka menggerakkan perubahan besar dalam Pilihan Raya akan datang, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Kamarulazman Habibur Rahman.
“Perang saraf dan mencari identiti sedang bermula dan berlaku.
“Ramai sedang memerhati dan menilai parti ini yang dijangka akan membawa perubahan besar dalam PRU akan datang.
“Saya ada menyebut bahawa kualiti sangat penting dalam diri dan parti sebaliknya ia disalahertikan di kalangan ahli.
“Tiba tiba sesetengah pihak begitu seronok mengambil kesempatan dengan mengatakan bahawa saya menyebut bahawa ahli parti ini tidak berkualiti. Sungguh tidak masuk akal.
“Jika kita menyertai parti untuk bertelingkah dan berebut jawatan dan seterusnya mengheret parti dalam situasi yang amat negatif, pasti kita tidak mempunyai kualiti yang diharapkan untuk membantu parti,” dedahnya kepada Malaysia Dateline.
Kamarulazman yang juga Setiausaha Kerja parti berkata, beliau amat menekankan kualiti dalam diri ahli dan parti untuk memastikan kekuatan parti itu.
“Ramai yang telah masuk menjadi ahli dan tidak kurang juga yang telah bertungkus lumus menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menentukan perjalanan parti berlaku dalam keadaan yang licin dan sempurna.
“Parti ini sebenarnya sedang mencari identiti sendiri. Dalam usaha memacu dengan lebih progresif ke hadapan.
“Kita perlu meninggalkan budaya lama yang telah lama mengekang bangsa Malaysia mencapai kecemerlangan yang sepatutnya,” ujarnya.
Justeru beliau mahu semua ahli parti menjadi contoh kepada mereka yang belum menjadi ahli.
“Justeru kualiti sebagai ahli mestilah di pupuk dari awal lagi supaya parti disenangi.
“PRU 14 ini menjadi medan di mana ahli sepatutnya terjemahkan perjuangan yang berkualiti untuk membentuk kerajaan yang baharu,” ujarnya.