Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub menjemput bekas Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zain menyertai perjuangan politik bagi meneruskan usahanya memerangi korupsi.
Katanya, AMANAH sedia memberi ruang kepada Bahri sekiranya beliau berminat untuk menceburkan diri ke dalam arena politik.
“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Datuk Bahri Mohamad Zain di atas sifat dedikasi, wibawa dan komitmen yang telah ditunjukkan beliau sepanjang puluhan tahun berkhidmat untuk negara.
“Tindakan beliau untuk bersara awal atas alasan ‘kecewa dengan kes siasatan SRC International (SRC) yang tidak dibawa ke mahkamah’ seperti dilaporkan membawa satu maksud yang besar.
“Ia sekaligus membenarkan segala kebimbangan AMANAH betapa perlunya hak pendakwaan diberikan kepada SPRM dan perjuangan ini perlu diteruskan atas nama negara.
“Secara peribadi, saya berpandangan peranan Datuk Bahri kepada negara tidak semestinya berhenti selepas beliau bersara dari SPRM.
“AMANAH ingin menyatakan bahawa kami bersedia memberi ruang kepada Datuk untuk terus berperanan memandangkan kita mempunyai matlamat sama demi negara yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.