Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah menandatangani perjanjian bagi memastikan pertandingan satu-lawan-satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), selepas perebutan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun lalu yang menyebabkan perpecahan dalam pakatan pembangkang.
Bercakap kepada FMT, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong berkata, beliau menandatangani perjanjian itu dengan wakil PKR dan Amanah negeri, Christina Liew serta Hamzah Abdullah sempena pelancaran PH Sabah hari ini.
Mei tahun lalu, PKR dan DAP bertembung di 6 kerusi pada PRN Sarawak, iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong. Semua 6 kerusi itu kemudiannya dimenangi Barisan Nasional.
Selain perpecahan undi di kalangan parti pembangkang, PRN Sarawak turut dicemari pertelingkahan terbuka antara pemimpin DAP dan PKR berhubung perebutan kerusi.
Majlis pelancaran PH Sabah itu turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Turut hadir ialah wakil parti tempatan, termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Gabungan Sabah.
Difahamkan, hanya Parti Harapan Rakyat Sabah yang diketuai bekas Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin tidak hadir walaupun dijemput.
Mengenai PRU14, Wong berkata, PH Sabah “sentiasa terbuka” kepada rundingan dengan parti pembangkang tempatan dan perbincangan tidak rasmi sudah bermula, termasuk dengan Warisan.
Warisan diketuai bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, manakala timbalannya ialah bekas Naib Presiden PKR, Darell Leiking.
Wong berkata, apa yang penting ialah semua pihak ikhlas untuk bekerjasama.
“Jika semua orang ada kemahuan, maka kita boleh mencari jalannya.
“Jika semua orang mahu menjadi ‘taikor’ (abang) dan meminta sebahagian besar kerusi dan mengharapkan orang lain memberi laluan, maka ia akan menjadi sukar.”