Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya jangan terlena daripada memerhati segala perkembangan mutakhir berkaitan isu 1MDB yang sangat berkepentingan kepada rakyat dan negara.
Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub berkata, tindakan tegas ke atas 1MDB telah diambil oleh beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat dan Switzerland.
Sehubungan itu Malaysia tidak sewajarnya bertindak bertentangan daripada norma-norma antarabangsa ke atas jenayah berkenaan.
“Terbaru kerajaan Singapura telah mengheret Bank Privet Falcon ke muka pengadilan kerana terlibat dengan penyimpanan wang yang punya bukti jelas berkaitan dengan 1MDB. Jens Fred Sturzenegger yang merupakan pengurus bank tersebut merupakan orang ke 5 yang didakwa di Singapura. Beliau mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman 28 minggu penjara dan denda S$128,000.
“Ironinya di Malaysia fail skandal 1MDB yang telah sempurna disiasat oleh BOK SPRM terdampar lesu di meja peguam negara atas hujah tiada kes untuk didakwa.
“AMANAH memperingatkan supaya peguam negara jangan terus terlena daripada menjalankan tanggungjawab besar ini kepada rakyat dan negara. Skandal 1MDB adalah malapetaka besar kepada kehidupan masa depan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.