Penganalisis politik membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menukar daerah mengundi pengundi, menyebabkan ramai yang akan mengundi di kawasan berbeza.
Dr Wong Chin Huat, daripada Institut Pulau Pinang berkata daripada melakukan persempadanan semula sempadan kawasan pilihan raya, SPR kini mengubah daerah mengundi.
“Perubahan terhadap persempadan daerah mengundi dibuat dalam kawasan pilihan raya. Tidak ada isu sama sekali, kerana ia adalah amalan pentadbiran biasa.
“Orang ramai tidak boleh memfailkan bantahan ke atasnya, hanya semakan kehakiman,” katanya sambil menyifatkan amalan itu sebagai “pintu belakang” untuk mengubah sempadan.
“Orang ramai tidak diberitahu mengenainya dan mereka tidak boleh merungut. Tetapi jika perubahan melintasi sempadan kawasan pilihan raya, ia menjadi isu,” katanya.
Wong menegaskan ia berlaku kepada DUN Paya Terubong di Pulau Pinang, di mana sebahagian kecilnya kini berada dalam kerusi Batu Uban.
“Ada yang mengundi di Batu Uban kini akan mengundi di Paya Terubong kerana perubahan yang dibuat kepada daerah mengundi mereka,” katanya, membandingkan satu peta pilihan raya 2013 dengan yang terkini.
Wong berkata beberapa perubahan di Pulau Pinang ada yang bersesuaian dan sebaliknya.
“Contoh lain adalah di Bukit Bendera, antara Batu Maung dan Bayan Lepas, Pengkalan Kota dan Komtar, Batu Uban dan Seri Delima, Prai dan Bukit Tengah.
“Hanya terdapat kesan ke atas kerusi yang mempunyai sokongan marginal. Kerusi yang menjadi kubu kuat tidak akan terjejas,” katanya.
Persempadanan semula sempadan daerah mengundi sedang dicabar di Selangor bagi mengisytiharkan ia menyalahi undang-undang, katanya.
Wong menyampaikan kepada media laporan “Hard Evidence on the Election Commission (EC) Sustaining and Worsening Malapportionment” di Institut Pulau Pinang hari ini.