Datuk Zaid Ibrahim berkata pertemuan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 2 Februari ini hanya akan memberi keuntungan kepada satu parti saja.
Bekas menteri itu berkata hasrat “satu lawan satu” hanya akan menjadi kenyataan buat PPBM, bukannya parti lain dalam komponen Pakatan Harapan (PH) dan PAS.
“Apa maksud satu lawan satu? Bagi PPBM mereka mahu kerusi yang mereka tandingi tidak akan ditandingi PAS. Manakala PPBM pula tidak akan meletakkan calon di mana PAS bertanding,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad masih berlapang dada untuk meneruskan perbincangan pada 2 Februari ini walaupun dikecam pemimpin kanan PAS dan membidasnya sebagai angkuh dan diktator.
Malah, Dr Mahathir turut mengakui sesetengah pemimpin PAS berhasrat untuk mensabotaj kerjasama di antara parti Islam itu dan PPBM.
Zaid berkata beliau tidak melihat PPBM mempunyai kemampuan untuk memastikan PAS tidak meletakkan calon di kerusi yang ditandingi Amanah, DAP dan PKR.
“PPBM rela kerusi Amanah, DAP dan PKR ditandingi PAS dan Umno. Maknanya, bagi PPBM tidak mengapa berlaku pertandingan 3 penjuru di kerusi Pakatan Harapan, asalkan kerusi PPBM kekal satu lawan satu,” katanya.
Zaid berkata PPBM merupakan parti baharu dan demi memenuhi janji untuk bertanding di kerusi Umno, PAS dan parti komponen dalam PH harus memberi laluan kepada parti itu.
“PKR mesti memberilah laluan kepada PPBM di kerusi yang mereka berlawan dengan Umno kerana kalau tidak, tidak ada ertinya usaha satu lawan satu yang diidamkan itu.
“Amanah pun mestilah sanggup memberi laluan kepada PPBM di semua kerusi pilihan PPBM untuk bertanding, jika tidak turut sia-sialah usaha mewujudkan kerjasama dengan PAS,” katanya.