Kenaikan harga jualan runcit petrol RON 95 sebanyak 20 sen mengejutkan rakyat berikutan graf harga Brent Crude Oil yang menjadi penanda aras harga antarabangsa menyusut sepanjang bulan Januari 2017.
Menurut penganalisis bebas dari sebuah NGO, Albert Kwok, kenaikan harga yang bertentangan harga minyak mentah dunia ini menimbulkan kesangsian rakyat adakah kerajaan BN cuba mengumpul modal untuk pilihan raya umum ke 14 dengan cara mengenaikan ‘cukai minyak’ terhadap rakyat.
“Kenaikan harga minyak secara mendadak menunjukkan kantung negara hampir kosong. Dulu pada bulan Disember 2014 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan, Hasan Malek mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan mengumumkan formula untuk mengira harga minyak tetapi sehingga hari ini, habuk pun tiada.” katanya.
Beliau berkata kenaikan harga menjelang PRU yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi jelas bererti ekonomi negara sudah ‘koyak’.
Beliau turut berpendapat selepas Tahun Baharu Cina, masyarakat Cina dan seluruh rakyat Malaysia akan ‘mengikat perut dengan ketat’.
“Justeru itu, bulan Mac dan April akan mengalami penurunan yang teruk dari segi perbelanjaan rakyat akibat dari kesan kenaikan harga minyak ini. Dalam hal ekonomi komuniti perniagaan Cina langsung tidak optimis mengenai iklim pelaburan dan ekonomi di Malaysia.
“Hanya media dan pakar ekonomi pro-kerajaan kata ‘ekonomi adalah kuat, kukuh, stabil dan memberangsangkan’. Tetapi kalau anda turun padang membuat tinjauan, ada banyak rumah-kedai dan kilang kecil di kawasan perindustrian telah tutup atau pun mengurangkan jumlah pekerja,” tegas Albert yang terlibat dalam pasaran hartanah.