Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengarahkan semua AMANAH kawasan di seluruh Perak untuk menaikkan bendera AMANAH sebagai syiar di semua lokasi Pusat Khidmat Peduli Rakyat dengan mensasarkan bahawa tahun 2017 adalah tahun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurut Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam, tindakan itu perlu bagi menjana momentum sokongan terhadap Amanah daripada penduduk setempat.
“Mesyuarat Pimpinan AMANAH Perak pada Ahad baru-baru ini turut mengarah agar setiap rumah ahli AMANAH mengibarkan bendera AMANAH supaya rakyat mengenali keberadaan parti ini dalam politik negara dan mudah untuk mengundi AMANAH pada PRU14 yang dijangkakan selepas Sambutan Hari Raya tahun ini.
“AMANAH Perak merasakan sudah tiba masanya penyokong dan ahli membina semangat rakyat bahawa AMANAH sudah bersedia menghadapi PRU14 bersama-sama KEADILAN serta DAP di dalam Pakatan Harapan (PH) dan juga BERSATU.
“Kehadiran AMANAH pada PRU14 kali ini sebagai memenuhi impian rakyat yang inginkan perubahan dan menunjukkan kesepakatan yang jitu antara parti-parti yang berjuang untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan sekutunya, khasnya pada PRU14 nanti,” ujar beliau dalam satu kenyataan.