Kenyataan PM Najib Razak bahawa kerajaan BN memutuskan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Dewan Rakyat memberi tamparan hebat kepada Pas.
Hal ini bererti Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang terpaksa meneruskan pembentangan sebagai usul persendirian (Private Member’s Bill).
Bagi Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Khalid Samad, keputusan Najib itu akan menyebabkan nasib RUU 355 tidak menentu dan bergantung kepada ihsan Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia untuk memberi laluan pindaan itu dibahas.
“Sekarang pembentangan RUU 355 bergantung kepada sama ada menteri-menteri dari pihak kerajaan ingin memberi laluan atau pun tidak kepada pembentangan itu kerana ia hanyalah satu usul persendirian dan isu-isu lain (rang undang-undang kerajaan) wajib didahulukan serta diberi tumpuan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Diminta mengulas mengenai kedudukan PAS, Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam berpendapat, setelah parti itu ditinggalkan oleh Najib dan Umno maka hasrat PAS untuk menjadi ‘Blok Ketiga’ telah pun tercapai.
“Mereka dulunya pernah berkata hendak menjadi ‘Blok Ketiga’ iaitu tanpa berpihak kepada BN ataupun Pakatan Harapan (PH). Justeru itu, PAS sekarang tiada kedudukan yang kukuh.
“Duduk dengan BN pun tidak dan dengan PH sudah tentunya tak boleh kerana mereka telah membuat tuduhan tidak berasas DAP adalah ‘Anti-Islam’ dan Amanah adalah ‘Pengkhianat’.
“PAS hari ini keseorangan kerana tidak mungkin menarik balik tohmahan terhadap DAP dan Amanah,” kata Khalid.
Selain itu, Khalid berpendapat keputusan Najib pada 29 Mac lalu itu memberi isyarat yang jelas bahawa undi Melayu tidak cukup untuk memenangkan UMNO – BN.
“PM Najib baru sahaja sedar RUU 355 tidak dapat digunakan untuk meraih 100 peratus sokongan Melayu dan oleh itu sokongan dari bukan Melayu adalah satu keperluan untuk beliau mendapat mandat untuk terus menerajui Putrajaya.
“Ini juga menunjukkan isu agama dan kaum tidak boleh digunakan lagi untuk memancing undi.
“Ini bererti PM Najib perlu merancang ‘game’ yang baru sebab parti komponen dalam BN telah menolak rentak tarinya (menggunakan isu agama) selama ini. Kita tunggulah ‘game’ yang seterusnya,” kata Khalid lagi.
Selain menerima kecaman daripada pemimpin Pakatan Harapan, pengkhianatan Najib terhadapm RUU 355 itu juga dipandang sinis oleh beberapa NGO.
Di antaranya Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zain yang berkata harapan untuk membawa usul meminda Akta 355 di parlimen kini umpama senipis kulit bawang putih.
“Kini mandat diberi kepada Tuan Speaker sama ada untuk membenarkan pembentangnya atau sebaliknya.
“Tinggal Tuan Guru Haji Hadi dan MP PAS bergelut untuk bangkit. Harapan kita kini senipis kulit bawang putih,” kata Zamihan di Facebooknya semalam.