Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan supaya tidak mengelak menjawap soalannya mengenai perjanjian kerjasama Petronas dan Saudi Aramco.
“Beliau tidak harus mengelak daripada soalan.
“Beri jawapan terus sama ada atau tidak terdapat perubahan dari segi komersil sebelum dan selepas beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan,” katanya kepada Malaysiakini.
Ahli Parlimen Pandan itu mengulas kenyataan Abdul Rahman pagi ini, yang apabila ditanya mengenai dakwaan Rafizi, menggesanya kerana Saudi Aramco memilih Malaysia untuk menjalin kerjasama.
Menteri itu juga menekankan bagaimana perjanjian kompleks penapisan minyak dan petrokimia (Rapid) di Penggerang akan mewujudkan peluang pekerjaan.
Sementara itu, Rafizi memberitahu Malaysiakini bahawa untuk projek sebesar itu, perubahan walaupun satu peratus dari segi komersial boleh menelan jumlah wang yang amat besar.
Katanya, Abdul Rahman mesti mendedahkan terma-terma komersial penting yang membabitkan wang awam sebelum dan selepas campur tangan beliau, dengan mengambil kira:
1) Berapa banyak yang perlu dibayar oleh Petronas sekarang untuk bahan mentah (minyak mentah dan naphtha) daripada Saudi Aramco?
2) Apakah harga utiliti yang dijual kepada syarikat usaha sama oleh syarikat utiliti yang dimiliki sepenuhnya oleh Petronas?
3) Apa pengurangan cukai dan pakej insentif cukai yang ditawarkan kerajaan Malaysia kepada usaha sama itu?
“Ini adalah soalan penting dan beliau tidak seharusnya mempunyai masalah untuk memberikan jawapan yang terus-terang.
“Jika beliau terus kekal mengelak dan bercakap kosong tetapi melakukan serangan peribadi ke atas saya, orang ramai hanya boleh membuat kesimpulan bahawa ada asas berhubung soalan saya,” katanya.
Rafizi berkata sehingga hari ini, tidak ada penafian atau respons daripada sesiapa yang mempertikaikan soalannya; atau menafikan bahawa terdapat perubahan dari segi komersil sebelum dan selepas campur tangan Abdul Rahman yang boleh memudaratkan kepentingan negara.