Ura-ura pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan berlangsung dalam lingkungan 1 hingga 6 bulan dari sekarang membawa parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) ke kedudukan bersiap siaga sekiranya parlimen dibubarkan pada bila-bila masa.
Seorang ahli strategi yang rapat dengan DAP, Frederick Wong dari Perak berkata, PH harus merancang dengan cepat sekiranya mahu kemenangan atau sekurang-kurangnya menambah kerusi dalam PRU.
“Walaupun tarikh PRU14 belum ditentukan lagi, Pakatan Harapan perlu bersiap-sedia menghadapinya jika Parlimen dibubarkan bulan ini. Kita tidak mahu menjadi mangsa serangan hendap dari pihak lawan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Wong menyentuh senario politik di beberapa negeri yang kelihatan positif untuk diambilalih. Terutamanya dengan bantuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang memecahkan undi di kubu-kubu kuat Umno.
“Di negeri Johor, kami telah memberi peluang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Salahuddin Ayub dari parti Amanah dan Liew Chin Tong (DAP) untuk merancang dan mengatur strategi.
“Zaid Ibrahim yang baru saja menyertai DAP akan bertanding di Johor sementara Tun Dr Mahathir mungkin akan bertanding kerusi Parlimen di negeri Kedah,” katanya mengulas lanjut strategi PH di negeri-negeri selatan Semenanjung.
Namun Wong memberi amaran agar tidak memandang remeh usaha Pas untuk memecah undi kerana parti itu berkata akan bertanding sehingga 80 kerusi parlimen dan masuk ke kawasan DAP serta PKR.
“PAS sedang hentam DAP dengan kuat dan pelbagai isu perkauman sedang berlegar di senario politik negara pada masa sekarang. Kami di pihak Pakatan tahu PAS akan bertanding di semua kerusi di Semenanjung untuk membahagi-bahagikan undi Melayu dan oleh itu, peranan PAS tidak boleh diremeh-temehkan.
“Justeru, semua pemimpin dan ahli Pakatan sedang membuat persediaan untuk menghadapi PRU14 pada masa ini,” ujar Wong.
Beliau juga menggesa masyarakat Melayu supaya membuka mata dan minda terhadap isu-isu semasa dan mengemukakan soalan kepada PAS: ‘Apakah pendirian parti itu terhadap isu 1MDB? Apakah pendirian PAS terhadap situasi ekonomi negara yang lembab pada masa ini?’
Wong mengharapkan calon-calon PH kali ini berkebolehan, berwibawa serta berkaliber dan dapat mempengaruhi masyarakat Melayu supaya membuat perubahan demi kesejahteraan. Beliau yakin undi masyarakat Melayu adalah penentu segala-galanya.