Penjelasan ahli parlimen Pakatan Harapan berhubung usul rang undang-undang Akta 355 di media sosial berjaya memberi pencerahan kepada umum tentang polemik tersebut, kata Setiausaha Agung PKR Dato’ Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, program Sidang Parlimen Rakyat yang sertai beberapa pimpinan Pakatan Harapan pada 10 April lalu telah berjaya mencapai sasaran.
“Perbahasan ini telah disiarkan melalui beberapa media sosial (Facebook) Invoke Malaysia, pimpinan dan termasuk Rafizi Ramli dengan jumlah tontonan sehingga 214097, hampir 1 juta akaun Facebook mengikutinya, 2714 berkongsi dan 14,496 komen.
“Ini boleh diikuti oleh pimpinan dan penyokong daripada pelbagai parti politik untuk menonton dan mendengar apa yang diperkatakan oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan.
“Malah kupasan RUU355 dalam bentuk hujah-hujah yang dibentangkan telah menjadi perhatian penonton dan menjadi suatu perkembangan yang positif,” katanya.
Tambah Saifuddin, keputusan kerajaan Umno-BN melalui Speaker Dewan Rakyat 6 April lalu yang menangguhkan sesi perbahasan RUU 355, menimbulkan pelbagai spekulasi yang jelas telah dipolitikkan walau apa pun alasan yang diberi.
Beliau memuji tindakan ahli parlimen Pakatan Harapan menjelaskan isu ini melalui mekanisme baharu ‘Sidang Parlimen Rakyat’ secara langsung di Facebook dengan kerjasama Invoke Malaysia.
Menurut beliau, dengan menggunakan teknologi digital dan media sosial, wacana itu akan menjadikan rakyat Malaysia lebih inklusif dalam sesuatu perkara.
Malah katanya, proses membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat boleh didemokrasikan melalui teknologi.
“Kajian yang bertajuk Internet Users Survey 2016 mendapati 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan rangkaian media sosial di atas talian setiap hari.
“Media sosial dan rangkaian teknologi harus menjadi instrumen dan wahana parti politik untuk mendengar suara hati rakyat yang terkesan dengan tindakan dan keputusan wakil rakyat yang diwakili mereka.
“Pendekatan politik Pakatan Harapan yang bersifat sezaman dan mendukung pemikiran termaju akan dapat mengurus kepelbagaian perkara dengan matang,” katanya.
Saifuddin turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan Parlimen bagi mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk memperkasa mahkamah syariah.
Jawatankuasa itu, tambah beliau perlu diletakkan bawah Parlimen dan dianggotai pakar dalam pelbagai bidang termasuklah perundangan Islam.
Saifuddin menegaskan bahawa tumpuan Pakatan Harapan terhadap isu-isu yang membelenggu rakyat tidak akan dilekakan dengan polemik RUU 355 ini.
Isu ratusan ribu graduan yang masih menganggur, kos pembiayaan anak-anak masuk universiti meningkat, kejatuhan nilai matawang ringgit, harga barang runcit mahal serta kos hidup yang dibebankan oleh kerajaan Umno-BN, ujar beliau harus diselesaikan melalui jalan politik dan pilihan raya.
“Disebabkan Umno-BN juga, rasuah pemimpin macam tiada penghujung. Kesemua hal ini juga suatu tanggung jawab agama yang harus ditegakkan!” katanya.