Kerajaan Barisan Nasional (BN) menghina Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355 melalui parlimen, dakwa Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, kerajaan mempermainkan RUU 355 dengan membenarkan ia dibentangkan ahli parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disokong oleh ahli parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan.
Kemudian Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang dewan tanpa membenarkan ia dibahaskan walaupun diminta oleh pembangkang untuk berbuat demikian.
“Permainan terakhir kerajaan, diberi peluang kepada Marang untuk bentang, Kota Bharu sokong, kemudian tutup tidak diizinkan untuk berbahas. Itu harus difahami rakyat bagaimana BN melalui parlimen menghina satu usul yang melibatkan akta yang penting,” katanya kepada Malaysia Dateline.
Beliau berkata, Amanah hanya akan menyatakan pendirian sama ada RUU 355 harus disokong atau tidak selepas ia dibahaskan.
“Hakikatnya selepas dibentang oleh Marang kemudian disokong oleh Kota Bharu speaker menangguhkan dewan. Jadi bagaimana kita nak katakan ada parti yang menentang dan ada parti yang menyokong RUU itu.
“Amanah mengharapkan RUU itu dibahas. Kita bahas dululah sepatutnya dan sebelum itu ahli parlimen Amanah Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud telah memasukkan satu usul bagi tujuan membuat satu cadangan balas kita terhadap memperkukuh peranan Mahkamah Syariah jadi secara rohnya mana mungkin kita nak menentang sesuatu yang kita rasa perlu kita bahas dengan penambahbaikan,” tegasnya.
Semalam, Hadi dalam satu kenyataan memuji tindakan Pandikar yang menangguhkan sidang dewan selepas RUU 355 dibentangkan pada 6 April lalu.
Beliau menyifatkan ia sebagai tindakan bijak Pandikar bagi memberi peluang lebih panjang kepada semua pihak untuk membahaskan RUU itu dengan lebih terperinci.
Bagaimanapun katanya, pembangkang yang tidak senang dengan tindakan itu telah mencetuskan huru-hara.
“Pas dan semua yang menyokongnya daripada Umno dan lain-lain menerima dengan terbuka, namun kepada penentangnya laksana batu besar yang dicampak ke dalam lubuk tenang yang tidak disangka adanya buaya, bukan sahaja ikannya terkejut gelombangnya.
“Tiba-tiba semua menimbulkan diri, termasuk ular dan buaya paling besar menerkam dengan rakus menempik segala hujah, termasuk mencetuskan perkara yang tersasul tidak ada kena mengena dengan tajuk RUU 355, apabila menimbulkan peraturan mesyuarat yang tidak menyentuhnya sedikit pun, niatnya untuk memamah masa supaya tidak ada ruang langsung bagi RUU 355,” katanya.
Presiden Pas itu juga mengibaratkan pengkritik RUU 355 seperti ‘syaitan besar’ dan ‘syaitan kecil’.
“Disebabkan setiap perjalanan menuju Islam itu pasti diganggu oleh syaitan yang sentiasa mengekori di sepanjang jalan dan masa, termasuk perkara paling asas dan mudah seperti mengambil wuduk dan sembahyang pun ada was-was syaitan.
“Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” katanya.
Hadi juga yakin kerajaan akan memberi laluan untuk RUU 355 dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat Julai nanti.
Bagaimanapun Salahuddin yang juga bekas ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tiada jaminan RUU 355 akan dibahaskan pada sesi akan datang.
“Saya sebagai bekas ahli parlimen saya sangat faham bagaimana satu RUU itu dibawa ke parlimen.
“Kenapa bagi bentang tapi bagi peluang bahas? Apa jaminan RUU 355 akan dibahaskan pada sesi akan datang? Tak ada jaminan dan semuanya terletak di tangan kerajaan,” katanya.MD