Kata-kata keramat yang telah berulang kali dizahirkan oleh Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seharusnya menjadi pegangan untuk direalisasikan.
Sebaliknya ia tidak pun dimanfaatkan oleh pimpinan Pas yang sering kali melaung-laungkan pendirian mereka, kata timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.
Beliau berkata, rakyat semakin keliru apabila Pas masih lagi ingin tidur sebantal dengan Umno, walaupun terlalu banyak penyalahgunaan kuasa, urus tadbir dan salah laku dalam kepimpinan Umno yang begitu ketara.
“Rakyat semakin keliru, apa sebenarnya yang diinginkan oleh pimpinan Pas selepas pemergian Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.
“Pesan Tuan Guru, kalau nak kalahkan Umno, mesti patahkan tongkat.
“Tapi apakah Pas kini sedang mematahkan tongkat tersebut atau memberi tongkat kepada Umno untuk menyambung hayat mereka yang semakin tercungap-cungap, ” tanya beliau lagi,” katanya pada program pidato Pakatan Harapan di Kampung Petani, Permatang Pauh semalam.
Beliau juga berkata, apabila Pas menggunakan isu RUU 355, ia seolah-olah memberi tongkat kepada Umno untuk menyambung nyawa mereka yang semakin terserlah ditolak rakyat.
“Yang kita musykil kenapa Pas bersungguh-sungguh mempertahankan Umno.
“Takkanlah seseorang itu akan bermati-matian membela pihak lain kalau tak ada yang memanfaatnya.
“Kalau menyokong Umno suatu kerugian, tak mungkin Pas sanggup untuk bertindak sedemikian, sudah pasti ada keuntungan yang menjadi percaturan,” tegasnya lagi.
Malah katanya, lebih parah lagi apabila Pas hanya bercadang untuk bertanding 80 kerusi pada pilihan raya umum yang akan datang.
“Rakyat semakin keliru dan bingung apakah dengan kemenangan 80 kerusi Pas boleh membentuk sebuah kerajaan.
“Tak mungkin ia dapat membentuk sebuah kerajaan tanpa berpakat dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan berdasarkan pada kerusi yang akan diraih oleh Umno.
“Memenangkan Umno adalah agenda mereka bagi memastikan Pakatan Harapan kecundang dan kalah dalam pilihan raya yang akan datang, ” tambahnya lagi.
Sehubungan itu katanya rakyat mesti celik, bangkit dan menetapkan pendirian dengan menolak Pas dan Umno dalam pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.
Ujarnya lagi, dengan memberi mandat kepada Pas akan memudaratkan rakyat selama lima tahun yang akan datang, apabila Umno meneruskan kezaliman mereka melalui polisi menekan rakyat miskin sepertimana yang sedang dilaksanakan kini.
Hadir sama dalam program tersebut ialah naib presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusoff Rawa, pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahaya serta ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim. MD