Tiada orang boleh memaksa atau mengugut PAS menyatakan pendiriannya, lebih-lebih lagi membabitkan strategi politik parti Islam itu, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS akan menggerakkan Gelombang Tsunami Hijau pada waktu dan saat paling sesuai sebagai panggilan kepada rakyat untuk bersama parti itu melakukan perubahan dalam negara ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Muktamar PAS ke-63 yang bermula di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.
Awal tahun ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh sebulan kepada PAS untuk menyatakan pendirian sama ada mahu menyertai gabungan pembangkang dan Pakatan Harapan bagi memastikan pertandingan 1-lawan-1 menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Timbul juga spekulasi PAS menjalin kerjasama politik dengan Umno, tetapi pimpinan parti Islam itu pernah menyatakan kerjasama dengan Umno terhad kepada isu membabitkan Islam seperti rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355, bagi meningkatkan hukuman kesalahan syariah.
Pada Muktamar PAS 2015, parti itu memutuskan hubungan dengan DAP. Ia juga berkeras tidak akan bekerjasama dengan parti serpihannya, Amanah.
Dewan Ulama dan Pemuda PAS pula meluluskan usul menamatkan hubungan PKR tanpa bahas dalam muktamar masing-masing pada Khamis dan Jumaat lalu.
Pada 18 April lalu, Dr Mahahir menerusi catatan di blognya menyifatkan PAS “malapetaka” terhadap perpaduan Melayu kerana keputusan parti itu mahu bertanding sendiri di luar kerjasama parti pembangkang lain hanya bertujuan membantu BN dengan cara memecahkan undi pembangkang.
Sementara itu, Hadi berkata, PAS memerlukan pendekatan yang boleh menyatukan rakyat pelbagai kaum tetapi memahami keperluan masyarakat Islam untuk terus mengamalkan kehidupan beragama di negara ini.
“PAS akan meneruskan pendekatan dengan mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan sebelum ini.
“Pendekatan ini bukan sahaja lebih berkesan terutama dalam masyarakat Malaysia yang bencikan budaya keras – kasar dan politiking melampau sehingga semua perkara dilihat dalam perspektif negatif dan penuh kebencian, sedangkan rakyat tidak berubah keadaan hidup mereka.”
Ahli Parlimen Marang itu berkata, untuk menjadi sebuah parti yang mampu memerintah negara, PAS perlu berusaha mendapatkan sokongan pengundi di pantai barat, termasuklah pengundi bukan Melayu dan Islam.
Katanya, pengundi bukan Islam perlu mendengar mesej PAS dan ahli serta pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) – yang tidak dibenarkan menjadi ahli parti Islam itu, wajar diperkukuhkan dan dibantu sepenuhnya.
“PAS bersama rakan blok ke-3 melalui Gagasan Sejahtera akan terus dimantapkan dengan penyertaan kalangan orang ramai, pimpinan masyarakat, bekas pegawai tinggi kerajaan dan NGO sebagai asas untuk menghadapi suasana politik yang semakin hangat ini.
“Agenda yang lebih sistematik dan kemas mestilah dirangka sebaik sahaja selesai muktamar kita pada kali ini.”
Muktamar PAS kali ini diadakan 2 tahun selepas pemilihan 2015 yang menyaksikan beberapa pemimpin veteran parti tewas dalam pertandingan jawatan tertinggi, keluar parti dan menubuhkan Amanah.
Amanah kemudiannya bekerjasama dengan PKR dan DAP untuk membentuk pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.
Dalam pada itu, Hadi berikrar akan memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di negara ini dengan cara tersendiri.
Katanya, ia termasuk skandal membabitkan 1MDB, Bumiputera Malaysia Finance (BMF), kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia sekitar 1990-an, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan Perwaja Steel.
“PAS akan terus komited memperjuangan Malaysia yang bebas rasuah dan pentadbiran yang telus dengan cara yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini.” – FMT