Ahli parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng yakin persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat Julai ini.
Katanya, hal itu perlu dilakukan sekiranya pentadbiran Najib mahu memanggil pilihan raya umum (PRU) pada hujung tahun. Tanpa dewan meluluskan persempadanan baharu dalam sesi Julai maka ia hanya akan boleh digunakan pada tahun hadapan.
Untuk itu, kata Lip Eng, Pakatan Harapan (Harapan) akan menumpukan lebih banyak jentera ke kawasan-kawasan Melayu berdasarkan persempadanan tersebut, yang mengurangkan kawasan campuran dan meningkatkan jumlah kerusi dominasi Melayu.
Beliau mengharapkan NGO tinjauan pendapat seperti Invoke akan memberi lebih banyak input mengenai hala tuju dan kecenderungan sokongan pengundi Melayu.
“INVOKE yang ditubuhkan oleh Rafizi Ramli memang satu inisiatif yang baik untuk membuat kajian mengenai corak pemikiran pengundi terutamanya di luar bandar dan di kawasan kampung.
“Sasaran kajian yang menumpu kepada pengundi masyarakat Melayu akan dapat membantu Pakatan Harapan dalam usaha kami mencelikkan minda pengundi sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 yang diramalkan pada bulan September atau Oktober tahun ini,” kata Lip Eng kepada Suara pakatan daily.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Albert Kwok pula berpendapat kerajaan PH wajar memberi peruntukan khas untuk memperkuat propaganda di kawasan-kawasan yang mereka akan pertahankan, pada PRU depan.
“Pakatan mesti mula bertindak dari sekarang kerana propaganda dari media arus perdana akan membantu BN mulai hari ini hinggalah tarikh PRU14. Saya berharap untuk negeri Selangor, lebih banyak wang akan disalurkan ke kawasan luar bandar dan kampung kerana di situ terdapat lebih banyak kerusi.
“Sebagai contoh, adalah lebih strategik untuk kerajaan Selangor menggunakan wang RM150,000 untuk membantu 50,000 penduduk kampung di mana terdapat 5 buah kerusi DUN daripada membantu 100,000 orang di kawasan bandar yang mana hanya terdapat sebuah kerusi,” katanya.
Beliau berpendapat ADUN Pakatan di Selangor yang mempunyai kerusi di kawasan bandar harus membantu rakan setugas mereka di kawasan luar bandar kerana pihak kerajaan BN pasti akan menyalurkan banyak dana ke kawasan luar bandar.
“PRU 14 kemungkinan besar pada tahun ini. Oleh itu, Pakatan harus mula bekerja keras untuk mendapat sokongan masyarakat Melayu. Tidak usah membazir masa dan tenaga di kawasan pengundi Cina ataupun India di bandar yang pasti akan menyokong PH.
“Berilah tumpuan 99% di kawasan luar bandar atau kampung,” tegas Albert.