Pakatan Rakyat menolak penggunan sistem biometrik dan menggesa SPR menggunakan dakwat kekal yang lebih murah kos dan lebih senang mengendalikan kakitangan SPR.
Menurut Ahli Parlimen Batu, Tian Chua kerajaan perlu memperakui tuntutan Bersih menggunakan dakwat kekal yang setakat ini diyakini penyelesaian terbaik untuk mengatasi pengundian berganda.
“Sementara tidak ada teknologi canggih selesaikan masalah ini, maka kembalilah kepada tuntutan Bersih untuk guna dakwat kekal.
“Kita dah buat eksperimen di Pulau Ketam untuk pilih ketua kampung. Pegawai Daerah guna inai sahaja. Semua berjalan lancar dan tiada sebarang kekeliruan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut isu pengundian berganda, Tian berkata sistem biometrik hanya boleh mengesahkan pengundi itu mempunyai kad pengenalan sah namun tidak mampu mengesan mereka yang mempunyai lebih dari satu kad pengenalan.
Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan seharusnya bersedia sepenuhnya terlebih dahulu dan tidak “over confident” dengan sistem baru yang mahu digunakan.
“Ia bukan sahaja mengundang keraguan, malah turut membazirkan wang rakyat,” katanya.
Sementara itu Liew Chin Tong turut mengingatkan Datuk Seri Najib bahawa perdana menteri itu masih ada tiga hari lagi untuk memanggil sidang tergempar parlimen dari tempoh seminggu yang diberikan pakatan rakyat.
Sidang itu khas bagi membincangkan pendedahan banyak pihak berhubung isu pertukaran status penduduk tetap PR kepada warganegara dalam masa beberapa jam sahaja dan didaftar sebagai pengundi.