Wanita PKR hari ini melancarkan ‘serangan’ terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana mencadangkan wanita berpakaian “comot” jika mahu mengelak gangguan dan jenayah.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata serangan itu dibuat memandangkan kenyataan Tengku Adnan yang disifatkannya sebagai ‘bodoh’.
“Wanita Keadilan (PKR) lancarkan serangan kepada Kunan.
“Ini menteri apa namanya, itu namanya menteri selekeh, serabai Ku Nan namanya,” katanya ketika sesi penggulungan dalam Kongres PKR di Petaling Jaya hari ini.
Sesudah berkata demikian, barisan akar umbi PKR segera menuju ke pentas dan mengeluarkan plakad membidas Kunan.
Antara isi kandungan plakad itu “Kunan otak blue”, “Kunan otak serabai”, “Kunan sasau”, “Kunan suka londeh seluar”, “Kunan suka hina wanita” dan “Kunan persendakan Puteri Umno”.
Anggota Parlimen Ampang itu turut mencabar wanita Umno untuk menegur Tengku Adnan berhubung kenyataannya itu.
“Saya minta membantah keras kenyataan yang dikeluarkan oleh Ku Nan terhadap wanita.
“Saya cabar wanita Umno untuk bangun dan bangkit tegur Ku Nan kerana apa yang disebut itu adalah menghina wanita tidakkah wanita Umno merasa malu.
“Jadi YB inilah seorang jejaka yang harus dikembirikan.Tolak Ku Nan tolak Ku Nan, kembirikan Ku Nan,” kata Zuraida.
Pada majlis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Rabu lalu, seorang ahli Puteri Umno melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan awam kerana banyaknya berlaku kes-kes rompakan dan penculikan.
“Jadi semasa berjalan saya takut dengan persekitaran, malah dalam pusat beli-belah ada orang cuba ganggu saya,” katanya.
Bimbang dengan keselamatan dua anak gadisnya, wanita itu berharap kerajaan akan meningkatkan keselamatan.
Bagaimanapun, Tengku Adnan, yang lebih memberi jawapan yang mengejutkan sesetengah pihak.
“Awak ini cantik sangat, lain kali pakai comot-comot sikit,” katanya secara berseloroh, tetapi mengundang sorakan dan tepukan daripada penonton.
Wanita itu agak tersipu dengan kata-kata Tengku Adnan dan terus bercakap untuk selama beberapa minit sebelum duduk. – Mkini